KALANGAN pemimpin Pemuda PKR kecewa dengan serangan peribadi dan tindakan memburukkan lawan yang timbul dalam kempen pemilihan parti kali ini.
Seorang pemimpin pergerakan itu, Saifuddin Shafi berkata pemilihan parti kali ini sepatutnya menjadi medan untuk menunjukkan visi membangunkan parti dan bukannya menyerang secara peribadi.
Saifudin yang juga calon untuk jawatan ketua Pemuda Cabang Hulu Selangor berkata kempen memburukkan pihak lawan hanya memperlihatkan parti PKR ketinggalan.
“Ini satu kempen yang terkebelakang. Kalau betul hendak tunjuk reformasi kena bagitahu apa perancangan untuk parti,” katanya.
Beliau berpendapat serangan ke atas Azmin Ali itu juga tidak adil kerana penyandang jawatan timbalan presiden itu tidak menyerang peribadi calon lawannya, Rafizi Ramli.
“Parti ini sudah jadi tunjang kerajaan. Azmin sebelum ini tidak pernah serang peribadi, apatah lagi merendah-rendahkan calon lain.
“Seperti saya, bertanding peringkat cabang tumpu pada manifesto untuk membangunkan Hulu Selangor dan bagaimana mahu tarik sokongan anak muda atas pagar.
“Selain itu fokus kedua, ekonomi dan pendidikan, sesuai dengan isu di Hulu Selangor,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Pegawai khas kepada Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari itu mengulas kenyataan yang timbul dari kempen calon kem Rafizi di Johor, Melaka dan Negeri Sembilan pada hujung minggu lalu.
Calon dalam pasukan Reformasi 20 Tahun itu antara lain membangkitkan dakwaan bahawa hubungan Azmin lebih rapat dengan Dr Mahathir dan juga penasihat kerajaan, Daim Zainuddin.
Calon berkenaan mendakwa keadaan ini mungkin akan menghalang usaha untuk presiden mereka, Anwar Ibrahim mengambil alih jawatan perdana menteri.

Malah, calon kem tersebut mendakwa Dr Mahathir dan Daim menaja sesetengah pemimpin PKR untuk memusnahkan parti itu dari dalam.
Salah seorangnya, Adun Ijok, Dr Idris Ahmad yang menyifatkan Dr Mahathir sebagai “watak jahat” dengan dibantu Daim bagi tujuan itu.
“Jangan percaya mereka, tengok bagaimana Dr Mahathir dan Daim gunakan pemimpin kita dalam PKR menjadi boneka mereka untuk menjatuhkan PKR,” dakwanya yang bertanding jawatan anggota majlis pimpinan pusat.
Seorang lagi calon, Abdullah Sani mendakwa mendakwa Anwar Ibrahim tidak akan berjaya dilantik menjadi perdana menteri sekiranya Azmin kekal sebagai timbalan presiden.
Ini memandangkan Azmin disokong kuat oleh Dr Mahathir Mohamad dan Daim kata ahli Parlimen Kapar itu.
Abdullah turut menyelar tindakan pemimpin tertentu PKR yang mengemukakan usul untuk menyingkirkan Dr Wan Azizah Wan Ismail daripada jawatan presiden PKR suatu ketika dulu.
Beliau yang bertanding jawatan ahli majlis pimpinan pusat mendakwa tindakan itu merupakan satu pengkhianatan kepada Anwar.
“Mampukah kita melihat bila keparat, haram jadah, celaka yang buat usul pecat presiden akan datang?” soalnya.
Mengulas perkembangan itu, Saifudin berkata, kenyataan pemimpin berkenaan menunjukkan kempen Rafizi keterlaluan dan tidak mengamalkan politik matang.
“Rafizi kali ini dia punya kempen agak keras sebab calon timbalan presiden sebelum ini tidak serang sebegitu. Kita tertanya-tanya apa matlamat (serangan).
“Saya tekankan kem Rafizi ini datang dari orang kecewa. Mereka tidak diberi peranan,” kata bekas setiausaha Pemuda PKR Selangor itu.
Sementara itu, seorang lagi pemimpin Pemuda cabang, Daeng Mohamad Reduan berkata serangan seperti itu juga tidak menunjukkan sikap kerajaan baharu yang menggantikan Barisan Nasional.
Timbalan bendahari Pemuda Selangor itu berkata anggota PKR sebaliknya perlu menjadi sebuah parti yang menerajui kerajaan.
“(PKR) ini lahir daripada jalanan dan kini telah berubah memerintah Malaysia. Kita perlu menumpukan menukar minda (menjadi) parti memerintah.
“Serang peribadi bukanlah (sikap) Malaysia Baharu. Seperti saya, di Subang saya mahu fokus isu pembangunan anak muda.
“Kita bantu mereka dan tidak perlu untuk kita serang peribadi,” katanya yang bertanding jawatan ketua Pemuda PKR Subang.
Pemilihan parti PKR akan berlangsung selama tiga minggu mulai pertengahan September melibatkan kira-kira 800,000 ahli. – 13 Ogos, 2018.
Komen