KALANGAN pemimpin Bersatu kesal dengan sikap pemimpin PKR yang mengheret Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan penasihat kerajaan Daim Zainuddin dalam isu pemilihan parti berkenaan.
Ketua penerangan sayap pemudanya, Ulya Uqamah Husamudin kecewa kerana kalangan pemimpin PKR mendakwa dua pemimpin tersebut cuba menghalang Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri.
Beliau menyifatkan tuduhan berkenaan sebagai berasas dan menggesa PKR menjalankan pemilihan dengan lebih profesional.
“Kami tekankan sekali lagi, Perdana Menteri, Dr. Mahathir tidak sesekali masuk campur tentang urusan mana-mana parti lain.
“Kami mengharapkan sesiapa yang tidak bertanggungjawab itu untuk berkempen dengan lebih sihat dan profesional,” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insight.
Jelasnya, walaupun kecewa dengan tuduhan yang dilemparkan oleh ahli PKR, hubungan antara Bersatu dan PKR sentiasa sehaluan dan mempunyai kerjasama yang baik.
“Kenyataan mereka itu satu tuduhan dan pendapat yang tidak berasas, tetapi hanya segelintir ahli PKR sahaja yang berkata sebegitu dan itu tidak melambangkan pegangan parti,” tambahnya.
Seorang lagi ahli majlis pimpinan pusat Bersatu, Marzuki Yahya berkata tuduhan itu tidak harus dilemparkan memandangkan Dr Mahathir berulang kali memberi jaminan bahawa presiden PKR itu akan dilantik sebagai Perdana Menteri kelapan.
“Soal Dr Mahathir dan Daim ingin menghalang Anwar dilantik sebagai Perdana Menteri, tidak pernah lansung diperkatakan (dalam pimpinan parti),” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insight.
Senator Dewan Negara itu juga berharap kempen pemilihan PKR seteruna dijalankan secara berhema terutama sekali bagi kem Rafizi Ramli.
Jelasnya, calon dalam pemilihan PKR sepatutnya tidak harus membuat tuduhan tidak berasas terhadap pimpinan negara.
Calon dalam pasukan Reformasi 20 Tahun itu dalam kempen di selatan tanah air antara lain membangkitkan dakwaan bahawa hubungan Mohamed Azmin Ali lebih rapat dengan Dr Mahathir dan juga penasihat kerajaan, Daim.
Calon berkenaan mendakwa keadaan ini mungkin akan menghalang usaha untuk presiden mereka, Anwar mengambil alih jawatan perdana menteri.
Malah, calon kem tersebut mendakwa Dr Mahathir dan Daim menaja sesetengah pemimpin PKR untuk memusnahkan parti itu dari dalam.
Salah seorangnya, Adun Ijok, Dr Idris Ahmad yang menyifatkan Dr Mahathir sebagai “watak jahat” dengan dibantu Daim bagi tujuan itu.
“Jangan percaya mereka, tengok bagaimana Dr Mahathir dan Daim gunakan pemimpin kita dalam PKR menjadi boneka mereka untuk menjatuhkan PKR,” dakwanya yang bertanding jawatan anggota majlis pimpinan pusat.
Seorang lagi calon, Abdullah Sani mendakwa mendakwa Anwar tidak akan berjaya dilantik menjadi perdana menteri sekiranya Azmin kekal sebagai timbalan presiden.
Ini memandangkan Azmin disokong kuat oleh Dr Mahathir dan Daim, kata ahli Parlimen Kapar itu.
Abdullah turut menyelar tindakan pemimpin tertentu PKR yang mengemukakan usul untuk menyingkirkan Dr Wan Azizah Wan Ismail daripada jawatan presiden PKR suatu ketika dulu.
Beliau yang bertanding jawatan ahli majlis pimpinan pusat mendakwa tindakan itu merupakan satu pengkhianatan kepada Anwar.
“Mampukah kita melihat bila keparat, haram jadah, celaka yang buat usul pecat presiden akan datang?” soalnya.
Pemilihan parti PKR akan berlangsung selama tiga minggu mulai pertengahan September melibatkan kira-kira 800,000 ahli. – 13 Ogos, 2018.
Komen