ADA beberapa salah faham dan salah anggap, pasca perubahan kerajaan pusat yang mencetuskan beberapa perbalahan sepanjang tempoh tiga bulan pentadbiran Pakatan Harapan. Dalam keadaan transisi kerajaan, dan kabinet yang baru sebulan usianya, parti-parti pembangkang nampaknya galak memetik isu-isu kaum dan agama sebagai modal untuk terus mandiri dalam politik Malaysia.
Dalam keadaan ini, menjadi Melayu pada era Malaysia Baharu nampaknya sulit sekali. Pada satu pihak, ada bibit-bibit perubahan yang mendesak anjakan besar-besaran daripada kelaziman budaya sepanjang 60 tahun lalu. Pada satu pihak lagi pula, ada rencana besar untuk menjadikan Melayu dan Islam sebagai ehwal terancam dan perlu segera dikepung agar tidak bergoyang.
Memihak gerombolan pertama, kita dituduh ‘liberal’, macai Pakatan, atau lebih teruk lagi, tunduk kepada Cina-DAP. Manakala mendekat kepada agenda yang satu lagi, kita dilihat pula sebagai konservatif, terkebelakang dan mengangguk kepada tekanan budaya politik Malaysia Lama.
Seolah-olah tiada jalan tengah yang boleh diambil untuk mendamaikan dua kutub bertelagah ini.
Dua kutub ini bertembung kerana rata-rata menyangka bahawa dalam sekelip mata dan secalit inai pada jari, Malaysia berubah menjadi negara yang selama ini menjadi idaman para idealis. Bukan sahaja bebas daripada cengkaman kuku besi United Malays National Organisation (Umno), negara malah dianggap telah bersiap sedia untuk mendakap setiap satu nilai-nilai baharu yang selama ini diperjuangkan.
Ini termasuklah soal keterbukaan dalam menanggapi kebebasan beragama, memilih orientasi seksual dan identiti gender, kebebasan bersuara dan berekspresi serta lain-lain hal yang terkandas sepanjang puluhan tahun negara dikuasai rejim Barisan Nasional.
Ini justeru menjemput reaksi kutub yang satu lagi – kutub yang melihat sebarang usaha mengusik status quo sebagai satu tindakan mencabar gaya hidup zaman berzaman, menggugat status Melayu dan Islam sebagai kaum yang ulung dan agama yang paling tinggi martabatnya.
Orang Melayu justeru harus memilih mahu berkiblatkan kutub yang mana. Atau paling kurang pun membuat keputusan, bagaimana untuk mereka menanggapi perubahan-perubahan yang bakal mendatang.
Buka tutup
Pada akhir zaman ini, tidak keterlaluan kalau kita ungkapkan bahawa umat Islam itu cuma berakhir duduk dalam dua firqah. Satu firqah itu beragama dengan merasakan bahawa syurga itu tidak muat untuk yang lain-lain selain dia dan jemaahnya.
Selain dia dan jemaahnya, habis dihukum kafir belaka dan tidak masuk syurga. Sibuk dia siang malam menghukum orang dengan pelbagai macam hukuman. Sesuai dengan pandangannya bahawa Islam itu agama hukum, dan berjuangnya dia demi menegakkan hukum. Jadi yang tidak setuju dengan tafsirannya, dihukum ketimbang diajak berdialog. Ini boleh disebut sebagai golongan Islam restriktif, pemegang anak kunci pintu syurga.
Satu firqah lagi adalah kumpulan yang menyedari bahawa kasih sayang dan rahmat Tuhan itu tidak bertepi. Jadi ia meneruskan sahaja usahanya siang malam untuk menyebarkan kasih sayang tanpa menghukum-hukum. Ia membuka ruang berdialog tanpa berkeras, berbalah apatah lagi membenci dan meminggir. Ini pula boleh kita sebut sebagai Islam akomodatif.
Untuk golongan yang pertama, ada firman dirakam Al-Quran yang mencabar mereka supaya lekas menginginkan mati, sekiranya menyangkakan wilayah akhirat itu khusus buat mereka sahaja. Ini boleh dirujuk dalam surah Al-Baqarah, ayat 94 hingga 96.
Persoalan buka tutup, restriktif dan akomodatif ini juga terpakai dalam perbahasan bagaimana menjadi orang Melayu dalam Malaysia Baharu. Contoh mudah boleh menggunakan isu UEC, sebelum lanjut ke isu LGBT yang lebih rumit lagi.
Pemaksaan iman dan nilai
Orang Melayu Malaysia mudah merasa selesa memaksa ketuanan, kepercayaan dan keimanan mereka ke atas yang lain-lain kerana percaya bahawa ia kelompok majoriti dalam sebuah negara. Kerana kepercayaan ini, maka ia merasa menggalas amanah untuk memakmurkan daulah dengan nilai-nilai yang ia percaya.
Memandang ke luar, Melayu-Malaysia ternyata wujud sebagai minoriti dalam kerangka Nusantara. Lebih minoriti lagi dalam rantau Asia Tenggara. Jauh semakin minoriti di benua Asia dan hampir tidak kelihatan jika diukur dengan skala global.
Ada beberapa perkara yang boleh kita tanggapi dalam pernyataan ini. Pertamanya, tidak hairanlah kenapa Melayu-Malaysia mempunyai minda terkepung dan merasakan nasib serta masa depannya sentiasa tergugat. Hakikatnya ia sangat minoriti dalam kalangan masyarakat dunia.
Kedua, tidak hairan juga kenapa ia cuba mengimbangi keadaan itu dengan upaya-upaya untuk memaksakan iman dan nilainya ke atas yang lain. Seperti lelaki pertengahan usia yang beli kereta sport. Ini upaya mengimbangi kekurangan dengan kelebihan yang lain.
Nilainya tentang bahasa komunikasi, sistem pendidikan, etika berpakaian, tatacara pergaulan, dan pelbagai lagi cuba dipaksakan ke atas tetangga senegara akibat daripada pemikiran sedemikian. Ia merasakan bahawa ia tidak berlaku rasis atau mendiskriminasi apabila bersikap demikian. Bahkan merasakan perlu untuk memaksakan nilai-nilainya demi membentuk sebuah negara bangsa, katanya. Negara dengan acuan yang ia suka.
Melayu dalam Malaysia Baharu tidak seharusnya mempunyai mentaliti sedemikian. Meski Malaysia Baharu bukanlah manifestasi perubahan drastik yang membawa negara pada satah yang sama dengan negara-negara demokratik lain yang benar-benar menjanjikan hak setara sesama manusia tanpa mengenal perbezaan kaum, keturunan, warna kulit, jantina, orientasi seksual, latar pendidikan, kemahiran, sumbangan ekonomi dan segala yang membezakan kita semua.
Melayu dalam Malaysia Baharu sewajarnya ikut beranjak dengan semangat zaman, pastinya tanpa mengorbankan nilai-nilai terasnya sebagai suatu umat yang memiliki keunikan tersendiri.
Melayu dalam Malaysia Baharu perlu jadi kelompok manusia yang akomodatif, bukan restriktif – kerana Malaysia bukan milik kita sahaja, sepertimana syurga bukan untuk ahli PAS semata-mata.
Malaysia milik kita bersama. Malaysia milik rakyat Malaysia. Suatu bangsa yang tidak membeza-beza.
Bukankah begitu? – 13 Ogos, 2018.
* Izmil Amri, berasal dari Pulau Pinang dan sering gagal dalam banyak hal. Kini seorang pemerhati politik yang sedang cuba untuk kurangkan makan nasi kandar. Berkicau di @The_Mamu
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen