Dr Mahathir selar Jho Low berhubung hak pemilikan Equanimity


Alfian Z.M. Tahir

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sebelum ini berkata kapal pesiar mewah Equanimity adalah milik Malaysia.– Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 12 Ogos, 2018.

DR Mahathir Mohamad hari ini menyelar Low Taek Jho atau Jho Low selepas ahli perniagaan yang dikehendaki itu menuduh perdana menteri berkenaan memandai-mandai bercakap bagi pihak berkuasa Amerika Syarikat dalam isu pemilikan kapal pesiar mewah Equanimity.

Bercakap kepada pemberita pada satu pemeran seni, Dr Mahathir secara berseloroh berkata beliau berasa bangga jika tuduhan itu benar. 

“Saya bangga boleh ‘bercakap’ bagi pihak kerajaan AS. Saya pastinya lebih berkuasa dari Donald Trump,” katanya.

Awal hari ini, jurucakap Jho Low, menerusi peguamnya berkata kerajaan Malaysia menipu dan memandai-mandai bercakap bagi pihak AS berhubung rampasan “haram” yang dilakukan Putrajaya ke atas Equanimity.

Beliau berkata tindakan kerajaan itu menjadikan penjualan kapal pesiar mewah berkenaan pada harga tinggi mustahil, kerana masih banyak persoalan perundangan belum terjawab dan kesannya kepada pemilik baharu.

Katanya lagi pihak berkuasa Amerika Syarikat tidak membuktikan apa-apa lagi, tetapi Putrajaya sudah mendakwa sebaliknya.– 12 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen