RAMPASAN “haram” Putrajaya ke atas Equanimity menjadikan penjualan kapal pesiar mewah itu pada harga tinggi mustahil, kerana masih banyak persoalan perundangan belum terjawab dan kesannya kepada pemilik baharu.
Jurucakap Low Taek Jho, menerusi peguam ahli perniagaan itu berkata pihak berkuasa Amerika Syarikat tidak membuktikan apa-apa lagi, tetapi Putrajaya sudah mendakwa sebaliknya.
“Hakikatnya begini: AS memfailkan dakwaan tidak terbukti dalam aduan rampasan sivil lebih setahun yang lalu, kemudian menangguhkan prosiding sebelum mana-mana pihak mempunyai peluang bermakna untuk memberi respons.
“Dakwaan itu kemudiannya merebak ke seluruh dunia lebih setahun lalu, diulangi ribuan kali. Kemudian Encik Low diisytiharkan bersalah oleh rejim (Dr) Mahathir sebelum ada satu buktipun dikeluarkan dalam mahkamah AS,” kata jurucakap itu dalam satu kenyataan hari ini bagi pihak Low yang lebih dikenali dengan nama Jho Low.
Kenyataan itu dikeluarkan selepas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata Malaysia mempunyai dokumen perundangan untuk membuktikan Equanimity adalah milik negara dan mahu menjual kapal itu secepat mungkin.
“Tiada jangka masa tertentu ditetapkan tetapi kita mahu jual kapal itu secepat yang mungkin.
“Kos penyelenggaraan ini sahaja mencecah RM2 juta sebulan. Kita harus belanjakan wang yang banyak untuk memastikan keadaan kapal ini terjaga,” kata Dr Mahathir selepas melawat Equanimity di Pelabuhan Klang semalam.
Jurucakap Low berkata “perbicaraan oleh media” dilakukan Dr Mahathit menjadikan mustahil isu itu dibicarakan dengan adil saksama.
Katanya beberapa hari lepas, pasukan peguam dilantik peguam negara berkata ia mengambil masa sehingga sembilan bulan untuk mengenal pasti pemilik Equanimity menerusi proses mahkamah Malaysia, tetapi Dr Mahathir nampaknya berkata tidak wujud proses itu.
“Dr Mahathir yakin yang AS bersetuju Malaysia boleh simpan kapal itu. Tetapi AS berkata sebaliknya dalam pemfailan di mahkamah.
“Dr Mahathir tidak patuh kepada penghakiman mahkamah AS dan Indonesia. Beliau tidak peduli kepada undang-undang semata-mata kerana tujuan politik.”
Jurucakap itu berkata Putrajaya masih belum menjelaskan mengapa peguam negara berkata rampasan kapal itu dibuat selepas “rundingan teliti dan hati-hati dengan AS” sedangkan Washington dalam pemfailan mahkamah menyatakan ia tidak mengetahui tentang rampasan itu.
Jurucakap itu menambah yang jelas sekali Malaysia menipu.
Katanya lagi, silap kenyataan berulang kali dikeluarkan Malaysia memalukan AS yang sudah menjelaskan tidak terlibat dalam rampasan itu dan akan memaklumkan kepada mahkamah AS pada 17 Ogos ini.
“Sangat jelas yang rejim (Dr) Mahathir tidak berminat kepada proses perundangan yang adil dan saksama. Ketidakpeduliannya terhadap prosiding perundangan yang sudah lama wujud dan berjalan di negara lain melibatkan kerajaan lain (seperti AS) dalam isu Equanimity tanpa keraguan lagi membuktikannya.” – 12 Ogos, 2018.
Komen