RM18 bilion GST hilang, Najib mungkin disiasat


Bede Hong

Bekas menteri kewangan Najib Razak mungkin akan disiasat kerana kehilangan RM18 bilion tuntutan balik GST kerana hanya menteri berkuasa memindahkan wang dari Jabatan Kastam ke kementerian, kata Lim Guan Eng. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Ogos, 2018.

BEKAS perdana menteri yang juga menteri kewangan, Najib Razak mungkin jadi subjek siasatan terbuka kehilangan RM18 bilion tuntutan cukai input Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), kata Lim Guan Eng.

Menteri kewangan itu memberitahu Parlimen ketika bacaan kedua Rang Undang-Undang Kastam (Pindaan) 2018 hari ini yang kutipan perolehan GST dari Jabatan Kastam sepatutnya dimasukkan ke dalam tabung amanah tetapi sebaliknya dimasukkan ke dalam satu akaun wang disatukan- akaun belanja kerajaan. 

Menurutnya lagi, hanya menteri kewangan yang berkuasa untuk memindahkan duit antara dua akaun tersebut. 

 

Menteri Kewangan Lim Guan Eng di Dewan Rakyat kelmarin mendedahkan sejumlah RM18 bilion pengembalian GST didakwa telah hilang di bawah pentadbiran kerajaan BN sebelum ini.

Menurutnya, dana tersebut sepatutnya dikembalikan kepada peniaga dalam tempoh dua minggu selepas mereka memfailkan tuntutan masing-masing.

Hari ini, Lim berkata siasatan akan dijalankan sebaik sahaja siasatan dalam selesai. Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan sama ada siasatan akan berlaku dalam bentuk suruhanjaya diraja (RCI) atau siasatan polis.

Siasatan dalaman yang dilakukan bertujuan mengenal pasti sejauh mana penglibatan menteri Kabinet dalam Kementerian Kewangan, yang berkuasa memindahkan wang itu ke dalam dana disatukan, menurut Lim lagi. 

“Sangat jelas yang wang itu dirompak oleh kerajaan terdahulu,” katanya.

“Akan ada siasatan terbuka mengapa menteri kewangan (Najib) meluluskan perkara ini.”

“Kami akan siasat sampai ke akar umbi. Saya yakin ada jejak rekod,” katanya.

Najib adalah menteri kewangan daripada 2008 hingga 10 Mei tahun ini. Selepas GST dilaksanakan pada 2015, Ahmad Husni Hanadzlah dan Johari Abdul Ghani berkhidmat sebagai menteri kewangan kedua, dan Ahmad Maslah sebagai timbalan menteri kewangan. Semua mereka berasal dari Umno.

Kekurangan wang itu terbongkar selepas audit dan pemeriksaan dalaman dilakukan Jabatan Kastam.

Lim menambah yang Jabatan Kastam tidak harus dipersalahkan kerana kuasa bayaran balik adalah dari kementeriannya.

“Ini bukan salah Kastam. Jangan salahkan pegawai mereka. Bagaimana mereka hendak pulangkan jika tiada duit,” katanya.

Menurut data Jabatan Kastam, pulangan balik GST mencecah RM9.18 bilion pada 2017, RM6.78 billion (2016) dan RM610 million (2015).

Jumlah semasa dana amanah GST adalah RM1.486 bilion, dedah Lim pada bacaan kedua penghapusan GST semalam.

Lim berkata kegagalan kerajaan terdahulu membayar balik cukai kepada perniagaan memberikan kesan negatif kepada kewangan negara. Beliau mengesahkan kementerian akan berusaha membayar balik cukai tersebut menggunakan kaedah lain.

Kehilangan tuntutan GST itu menjadi topik perdebatan hampir dua jam semalam, walaupun Timbalan Speaker Nga Kor Ming memberi amaran kepada wakil rakyat pembangkang supaya kekal membincangkan isu berkaitan dengan pindaan akta kastam.

Ahli Parlimen Tanjong Karang Noh Omar dan wakil rakyat Umno lain membantah penggunaan perkataan “rompak” oleh Lim untuk menggambarkan peranan kerajaan terdahulu dalam kehilangan GST itu. – 9 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen