PULAU Pinang hari ini mempersoalkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengapa ia “mensasarkan” negeri yang ditadbir pembangkang kerana tidak menandatangani Ikrar Bebas Rasuah apabila terdapat negeri-negeri lain, termasuk yang diperintah Barisan Nasional (BN) yang tidak menandatangani ikrar .
Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berkata, setakat ini hanya Pulau Pinang yang disebut SPRM dalam kritikannya.
“Apa yang membuatkan Pulau Pinang begitu berbeza? Kalau kita satu-satunya negeri yang belum menandatangani ikrar itu, kita boleh faham, tetapi ada negeri lain termasuk negeri-negeri BN.
“Mereka (SPRM) tahu negeri mana. Saya tidak mahu menuduh mereka ‘double-standard’ tetapi saya harap mereka dapat menjelaskan mengapa,” katanya pada sidang media hari ini.
Semalam, ketua pesuruhjaya SPRM Dzulkifli Ahmad berkata, agensi itu “terkejut” dengan reaksi Pulau Pinang ke atas ikrar itu. Dia ingin tahu mengapa Lim memerlukan jemputan untuk menandatanganinya.
Dia dilaporkan berkata: “Saya tidak tahu kenapa Lim berkata perlu ada jemputan. Hebat betul Pulau Pinang ni. Saya pelik. Bagaimanapun, terpulang kepadanya untuk melakukannya atau tidak. Dia tidak perlu memberikan alasan.”
Minggu lepas, Lim berkata Pulau Pinang akan menandatangani ikrar itu dengan syarat ia diikuti dengan tindakan tegas untuk memerangi rasuah, seperti pengisytiharan aset awam oleh ketua menteri dan ahli exco serta melaksanakan tender terbuka yang kompetitif.
Tindakan SPRM dan kerajaan Pulau Pinang saling membuat kenyataan mengkritik satu sama lain di media atas isu ikrar ini masuk minggu kedua.
Ia bermula apabila Dzulkifli berkata beliau kecewa apabila Pulau Pinang “menolak” untuk menandatangani ikrar itu dan menyatakan SPRM tidak pernah menjemput Pulau Pinang untuk berbuat demikian.
Serangan itu kata Lim, memberi peluang kepada media BN untuk menyalahkan kerajaan Pulau Pinang, menjadikan pentadbiran Pakatan Harapan kelihatan seperti tidak bersedia untuk memerangi rasuah.
“Memang benar mereka tidak pernah menghubungi Pulau Pinang untuk menandatangani ikrar. Hanya sekarang baru kita tahu tandatangan itu mesti dibuat secara sukarela.
“Kenapa mereka tidak boleh hubungi kami mengenainya, bukannya mensasarkan Pulau Pinang dalam serangan mereka, seolah-olah mereka mempunyai dendam terhadap Pulau Pinang,” katanya.
Lim juga berkata, Pulau Pinang progresif dalam memerangi rasuah seperti yang ditunjukkan melalui lebihan anggaran tahunan yang dicatatkan pentadbiran kerajaan negeri sejak 2008.
Beliau berkata, Pulau Pinang juga berjaya mengurangkan hutang negeri dan menerima pujian daripada Ketua Audit Negara dan Transparency International atas rekod pencapaiannya yang baik dalam menguruskan kewangan negeri.
“Kami adalah satu-satunya negeri yang menerima pengiktirafan itu, namun kami menjadi sasaran. Apa yang lebih penting kerajaan negeri mempunyai keazaman untuk memerangi rasuah.
“Tetapi jika SPRM bertegas mengenai ikrar itu, exco negeri akan membincangkan perkara itu Jumaat ini,” kata Lim. – 25 Julai, 2017.
Komen