KETUA Menteri Lim Guan Eng menafikan kerajaan DAP Pulau Pinang enggan menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR).
Sebaliknya, beliau berkata pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak pernah menghubungi kerajaan negeri untuk berbuat demikian.
“Tapi sekiranya mereka rujuk kepada kita, kita boleh bincang yang IBR bukan hanya tinggal ikrar sahaja dan mesti diikuti dengan tindakan konkrit untuk membanteras rasuah,” katanya berucap pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Negeri Pulau Pinang, di Georgetown, malam tadi.
Turut hadir Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad dan isteri Dr Siti Hasmah Mohd Ali, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin, Timbalan Presiden Bersatu Mukhriz Mahathir, pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang, Pengerusi DAP negeri Chow Kon Yeow, Pengerusi PKR negeri Mansor Othman dan barisan kepimpinan kerajaan Pulau Pinang.
Sabtu lepas, Ketua Pesuruhjaya SPRM Dzulkifli Ahmad dipetik sebagai berkata SPRM kesal dengan keengganan Pulau Pinang menandatangani IBR yang merupakan komitmen bagi sesebuah institusi untuk bersama-sama memerangai musuh nombor satu negara itu.
Pada 12 Julai lepas, kerajaan Pulau Pinang menyifatkan prinsip Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT) yang dilaksanakan di negeri itu sejak 2008 lebih berkesan dalam usaha membasmi rasuah dan penyalahgunaan kuasa berbanding menandatangani IBR. – Bernama, 21 Julai, 2017.
Komen