CALON timbalan presiden PKR, Rafizi Ramli menegaskan kaji selidik yang dibuat pasukan kempen beliau tidak melanggar undang-undang dan menggunakan data Invoke yang telah dibangunkan sejak 2 tahun lalu.
“Maklumat nombor telefon tidak diambil dari daftar keanggotaan Keadilan, sebaliknya menggunakan data dalaman di Invoke yang memang telah ada sejak 2016 lagi.
“Pasukan saya di Invoke bertanggungjawab menjalankan kaji selidik dan memprofail pengundi-pengundi sepanjang kempen PRU14 yang lepas,” kata bekas Ahli Parlimen Pandan dalam satu kenyataan.
Naib Presiden PKR itu menjawab dakwaan beberapa ahli PKR mengenai salah guna data maklumat ahli-ahli parti apabila menghubungi mereka melalui telefon dalam kempennya menjelang pemilihan parti bulan depan.
Mereka mendakwa menerima panggilan telefon dari nombor yang tidak dikenali yang bertanya soalan kaji selidik mengenai calon pilihan untuk jawatan timbalan presiden.
Rafizi menjelaskan kaedah sama juga digunakan untuk membuat kajian pada PRU14 mengenai pertembungan tiga penjuru yang memberi kemenangan kepada Pakatan Harapan (PH).
“Oleh kerana Invoke mempunyai data pengundi yang membolehkan kami membuat kajianlah, maka saya dan sahabat-sahabat berjaya meyakinkan pimpinan untuk meneruskan dengan pertandingan 3 penjuru, walaupun pimpinan lain seperti Azmin Ali, Tian Chua, Zuraida Kamarudin mahu meneruskan kerjasama dengan PAS.
“Tidak ada pihak dari kalangan pimpinan PKR atau PH sebelum ini yang menuduh saya (dan Invoke) melanggar undang-undang. Mereka dimaklumkan bahawa data yang kami perolehi adalah melalui petisyen yang dianjurkan, maklumat dari syarikat pemasaran swasta dan pangkalan data yang dibina oleh lebih 40,000 sukarelawan Invoke,” kata Rafizi lagi.
Beliau turut menyindir satu-satunya pihak yang mendakwa Invoke melanggar undang-undang dan mahu operasinya ditutup adalah Umno.
“Saya berharap saingan saya tidak meminjam modal kempen yang sama dari Umno dalam saingan ini,” katanya.
Rafizi berkata hanya maklumat kad pengenalan yang diperolehinya yang turut dimiliki pesaing lain.
“Ini dipadankan dengan pangkalan data Invoke untuk mengenal pasti maklumat-maklumat lain.
“Saingan-saingan saya di dalam pemilihan Keadilan kali ini turut mendapat salinan keanggotaan yang mempunyai maklumat yang saya ada. Kita hanya perlu menggunakan teknologi semasa dan budaya berkempen cara baru untuk menghubungi terus pengundi-pengundi, seperti yang saya jalankan setakat ini,” kata Rafizi lagi. – 9 Ogos, 2018.
Komen