Kempen pemilihan PKR panas, Rafizi didakwa guna Invoke, kata ahli parti


Nabihah Hamid

Ahli PKR mendakwa menerima panggilan telefon dari nombor yang tidak dikenali yang bertanya soalan kaji selidik mengenai calon pilihan untuk jawatan timbalan presiden PKR dan menurut mereka panggilan itu menggunakan suara calon timbalan presiden, Rafizi Ramli. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Ogos, 2018.

CALON timbalan presiden PKR, Rafizi Ramli didakwa menyalah guna data maklumat ahli-ahli parti apabila menghubungi mereka melalui telefon, untuk kaji selidik seperti yang dijalankan oleh Invoke semasa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), dalam kempennya menjelang pemilihan parti bulan depan, kata beberapa ahli PKR.

Mereka mendakwa menerima panggilan telefon dari nombor yang tidak dikenali yang bertanya soalan kaji selidik mengenai calon pilihan untuk jawatan timbalan presiden PKR. 

Panggilan yang bertanyakan soalan itu menggunakan suara Rafizi, kata mereka.

Ketua Biro Komunikasi PKR Nor Hizwan Ahmad berkata, pihaknya menerima beberapa laporan mengenai dakwaan itu dan akan membuat aduan rasmi kepada ibu pejabat agar perkara ini disiasat.

“Saya akan buat laporan rasmi terhadap Jawatan Kuasa Pemilihan Pusat (JPP). Mereka perlu jawab dan saya serahkan tindakan dilakukan parti selepas atas aduan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Jelas Hizwan, beliau akan membuat aduan sebelum tarikh bantahan ditutup minggu ini.

Semalam, beberapa anggota PKR menulis di media sosial mendakwa menerima panggilan daripada Naib Presiden PKR itu, termasuk menyindir cara kaji selidik seperti itu.

Rafizi dalam satu kenyataan balas menjelaskan kaji selidik yang beliau jalankan itu tidak menyalahi undang-undang.

Hizwan dalam satu kenyataan awal hari ini mendakwa tindakan Rafizi melanggar undang-undang.

“Akta Data Perlindungan Peribadi (memperuntukkan) seseorang tidak boleh memproses data peribadi seorang subjek yang mana subjek tersebut tidak memberikan persetujuan untuk memproses data tersebut, yang mana dalam konteks ini penggunaan nombor telefon anggota Keadilan. 

“Parti Keadilan Rakyat yang merupakan sebahagian dari Kerajaan Pakatan Harapan seharusnya menunjukkan urus tadbir yang cekap, amanah dan kompeten, sepertimana yang sedang kita laksanakan di dalam kerajaan persekutuan kini,” katanya lagi. 

Dalam pada itu, Setiausaha Agung Saifuddin Nasution berkata tiada masalah cara kempen atau kaji selidik seperti itu selagi ia tidak melanggar kesalahan berkempen iaitu menawarkan habuan atau memberikan ugutan.

“Sudah tentu parti ini meraikan kreativiti dalam sesuatu kempen. Parti memberi peluang dan membuka kepada kreativiti mana pihak bertanding untuk menjalankan kempen mereka. 

“Yang penting ialah kempen tidak boleh berupa tawaran habuan, ugutan sebab itu akan menyebabkan prinsip demokrasi itu akan menjadi kotor. 

“Adapun kempen memanfaatkan perkembangan teknologi seperti media sosial yang kita ketahui Twitter, Facebook, WhatsApp sepertimana hadapi pilihan raya umum, Keadilan lebih ke hadapan dalam menjalankan kaedah big data. Itu akan melibatkan kita membuat sampling dalam satu kelompok sasaran,” katanya, yang mengesahkan tiada tindakan akan diambil. 

Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution berkata tiada masalah cara kempen atau kaji selidik seperti itu selagi ia tidak melanggar kesalahan berkempen iaitu menawarkan habuan atau memberikan ugutan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Ogos, 2018.

Saifuddin juga mengatakan tiada halangan untuk Rafizi menggunakan platfom Invoke dalam berkempen kerana ia bukanlah sesuatu yang baru. 

“Kita tidak boleh halang. Setiap pemimpin ada juga terlibat dengan NGO. Sebelum ini Chegubad (Badrul Hisham Shaharin) ada NGO SAMM, Ketua Wanita Zuraida Kamarudin ada NGO WIRDA. Semua ada NGO untuk matlamat tertentu. 

“PKR tidak boleh kata ini boleh buat ini tak boleh buat,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insight. 

Dalam pada itu, seorang anggota PKR, Ahmad Nizam Hamid yang juga peguam berkata tiada sebarang perlanggaran undang-undang yang dilakukan oleh Rafizi.

“Kemajuan teknologi komunikasi seharusnya dimanfaatkan untuk kemaslahatan demokrasi dan bukan dilihat sebagai suatu yang tidak beretika,” katanya dalam satu kenyataan. 

Bagaimanapun, ahli PKR Syed Badli Syah Syed Osman antara salah seorang penerima panggilan tersebut berkata beliau tiada masalah dengan cara kempen tersebut. 

“Pada saya pertandingan ini satu yang sihat. Ia bergantung pada calon berdasarkan kreativiti masing-masing. Calon lain tak perlu tergugat. Mereka buatlah kempen lain pula. 

“Lagipun Rafizi tidak amalkan politik wang dan tawaran kuasa, dan mengamalkan kempen sihat. 

“Janganlah menggelabah, dia bukanlah menawarkan habuan atau promosi. Cuma survey sahaja,” kata bekas Setiausaha Pemuda PKR Selangor itu. – 9 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen