Sistem e-undi lebih integriti, mampu elak ketirisan 


Zaim Ibrahim

SISTEM e-undi yang pertama kali diperkenalkan oleh PKR dalam pemilihan parti kali ini adalah lebih berintegriti daripada sistem tradisional.

Menurut Timbalan Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP),  Adzman Hedra, sistem e-undi adalah transfromasi daripada kertas undi tetapi sekarang pengundian dijalankan secara digital.

“Dulu kita pakai kertas undi, sekarang kita pakai kertas undi digital. 

“Dulu kita kira secara manual sekarang kita kira secara digital,” kata Adzman Hedra dalam satu sidang media di Ibu Pejabat PKR. 

Tambah beliau, pengundi hanya memilih calon mereka melalui tablet yang disediakan tanpa perlu menggunakan capaian internet. 

“Kita telah membina (e-undi) lebih kurang setahun yang kita yakin ada integriti dan lebih selamat daripada manual. Contohnya dalam soal pengiraan, kira secara manual terdedah kepada kesilapan tetapi secara digital, pengiraanya sangat tepat,” jelas beliau lagi.

Beliau turut berkata tiada individu termasuk pihak JPP yang boleh mengakses data sehingga waktu pengundian tamat bagi mengelak unsur-unsur manipulasi data. 

Bagi mengelakkan sebarang ketirisan, pihak JPP akan melantik sebuah juruaudit bebas bagi memantau sebelum, semasa, dan selepas proses pengundian. 

Sebelum ini, terdapat beberapa calon yang bertanding meluahkan kebimbangan mereka terhadap proses e-undian yang boleh menjejaskan Pemilihan PKR. 

Calon Majlis Pimpinan Pusat, Yusmadi Yusoff berkata proses itu adalah mencabar bagi penduduk di kawasan pendalaman manakala calon Ketua Wanita PKR, Haniza Talha pula berkata tempoh percubaan sistem itu terlalu singkat. – 8 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen