Calon bimbang sistem undian elektronik jejas pemilihan PKR


Zaim Ibrahim

Yusmadi Yusoff yang bertanding jawatan ahli majlis pimpinan pusat PKR berkata demikian memandangkan liputan Internet dan pendedahan terhadap teknologi digital masih belum dapat dibanggakan di negara ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 5 Ogos, 2018.

BEBERAPA calon yang bertanding pada pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) meluahkan kebimbangan terhadap sistem undian elektronik yang digunakan kali ini. 

Calon ini tidak meletakkan harapan tinggi pada sistem e-voting itu yang menurut mereka akan berdepan masalah terutama di kawasan pedalaman di Sabah dan Sarawak.

Seorang daripadanya, Yusmadi Yusoff yang bertanding jawatan ahli majlis pimpinan pusat PKR berkata demikian memandangkan liputan Internet dan pendedahan terhadap teknologi digital masih belum dapat dibanggakan di negara ini.

“Saya menjangkakan akan terdapat cabaran pada pemilihan PKR kali ini terutama sekali ahli-ahli yang berada di luar bandar, Sabah dan Sarawak,” kata beliau ketika ditemui oleh The Malaysian Insight. 

Bekas ahli Parlimen Balik Pulau itu bagaimanapun menegaskan, undian elektronik merupakan satu keputusan yang ke hadapan tetapi perlu mengambil pendekatan yang strategik melalui memberi kesedaran dan didikan. 

“Saya difahamkan, (undian elektronik) menjimatkan kos. Malah dalam Industri Revolusi 4.0, kita perlu mengambil kesempatan ini,” tambah beliau. 

Calon ketua Wanita PKR, Haniza Talha, turut menyatakan kebimbangan kerana tempoh percubaan sistem itu singkat dan capaian Internet di beberapa kawasan dalam negara masih lemah. 

“Walaupun sistem e-voting boleh dibuat secara offline tetapi adakah 100 peratus pengundian yang dilakukan akan masuk ke dalam sistem?

“Sekiranya kita ingin membuat bantahan, kita tidak boleh membuat pengiraan semula. Jadi bagaimana kita nak menyelesaikan isu ini?” soal beliau lagi. 

Calon ketua Wanita PKR, Haniza Talha, turut menyatakan kebimbangan kerana tempoh percubaan sistem itu singkat dan capaian Internet di beberapa kawasan dalam negara masih lemah. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 5 Ogos, 2018.

Beliau turut berpandangan, sistem tradisional iaitu menggunakan kertas undian adalah lebih baik tetapi perlu ditambah baik seperti yang dilakukan di Amerika Syarikat dan Jerman.

Jelasnya, sistem pemilihan di negara itu diubah kepada sistem kertas undian selepas mendapati terdapat kelemahan dalam sistem elektronik itu.

Bagaimanapun, seorang lagi calon, Fahmi Zainol, yang bertanding jawatan majlis pimpinan pusat Pemuda PKR percaya pihak atasan mempunyai rancangan tertentu untuk mengatasi segala masalah dalam urusan pengundian itu. 

“Sebenarnya, dalam proses seperti ini, persoalan utama adalah mengenai ketelusan, tetapi pada pandangan saya, ia membawa lebih banyak kebaikan berbanding keburukan,” jelasnya yang juga bekas aktivisme mahasiswa. – 5 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen