SYARIKAT pelaburan negara 1MDB, di bawah pengurusan baharu, menuntut hak milik ke atas Equanimity, menurut peguam Sitpah Selvaratnam.
Langkah itu dilihat berbeza dengan pendirian pengurusan terdahulu yang menafikan kaitan mereka dengan kapal layar mewah itu.
“1MDB menuntut hak milik Equanimity kerana mereka percaya wang syarikat itu disalah guna bagi membeli kapal layar tersebut,” katanya selepas memeriksa kapal layar mewah itu di Pelabuhan Klang, hari ini.
Beliau berkata tuntutan itu berdasarkan saman perampasan sivil oleh Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DOJ) tahun lalu.
“Dakwaan DOJ adalah dakwaan yang disahkan, disahkan dengan sumpah bohong. Tuntutan itu dimulakan berdasarkan dakwaan tersebut. Sudah tentu ia akan dibicarakan di hadapan Mahkamah Admiralti,” katanya.
Sitpah dan Jeremy Joseph dikatakan telah dilantik oleh Jabatan Peguam Negara untuk mewakili syarikat pelaburan itu dan Putrajaya.
Beliau berkata, empat plantif, syarikat kumpulan 1MDB, 1MDB, dan dua anak syarikatnya - membuat permohonan waran tangkap.
Pihak defendan yang mendakwa mereka adalah pemilik berdaftar mempunyai peluang untuk ke mahkamah bagi mempertahankan dan membuktikan tuntutan pemilikan mereka, katanya.
Awal hari ini, Peguam Negara Tommy Thomas berkata Equanimity dirampas mengikut undang-undang Malaysia.
Beliau berkata Jabatan Penguam Negara menggunakan pakai bidang kuasa Admiralti Mahkamah Tinggi Malaya di Kuala Lumpur terhadap Equanimity.
“Dan pada 6 Ogos, 2018, mahkamah telah mengeluarkan waran tangkap terhadapnya,” kata Thomas dalam kenyataan, hari ini.
Selepas berjaya menawan Putrajaya, kerajaan Pakatan Harapan menukar ahli lembaga pengarah 1MDB. Pengurusan lama di bawah bekas CEO Arul Kanda Kandasamy menolak saman perampasan sivil oleh DOJ.– 7 Ogos, 2018.
Komen