PAS nafi terlibat dengan badan pemikir AS


Kamles Kumar

PAS menafikan sebarang penglibatan dengan International Republican Institute (IRI) yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) walaupun pernah bersama Pakatan Rakyat, kata Setiausaha Agung Takiyuddin Hassan.

Ahli Parlimen Kota Baru itu berkata, PAS tidak tahu mengenai badan pemikir AS itu sungguhpun bersama PKR dan DAP sebelum ini.

“PAS pasti bukan. Kami melihat ini adalah satu isu yang menjejaskan kedaulatan dan keselamatan negara,” kata Takiyuddin kepada pemberita dalam sidang media di Parlimen hari ini.

Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man pula berkata kerajaan harus membuka penyiasatan terhadap penglibatan IRI dalam politik Malaysia.

“Kami juga berharap penyiasatan dilakukan atas campur tangan dalam politik,” katanya.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu menambah Putrajaya sepatutnya memperkenalkan undang-undang pembiayaan politik untuk mengelakkan campur tangan kuasa asing dalam politik negara.

IRI hari ini menafikan dakwaan ia bekerjasama dengan pembangkang PH untuk menyingkirkan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang memerintah ketika itu.

Kenyataan itu susulan berita portal Free Malaysia Today semalam yang Presiden IRI, Daniel Twinning mengakui usaha badan pemikir Washington itu di Malaysia akhirnya membuahkan hasil pada Pilihan Raya Umum ke-14.

Beliau mendakwa kejayaan PH akan memberi kesan positif kepada Washington.

“Saya melawat dan saya duduk bersama-sama ramai pemimpin baharu dalam kerajaan baharu, ramai antara mereka adalah rakan kami yang bekerja dengan kami selama 15 tahun, dan salah seorang daripada mereka yang sekarang menguruskan kerajaan baharu berkata kepada saya, ‘Gosh, IRI, awak tak pernah putus harap kepada kami walaupun kami sendiri sudah hendak berputus asas,” kata Twinning dipetik berkata dalam satu forum bulan lepas.

Ini berlaku selepas pemimpin PKR dan DAP menafikan sebarang penglibatan dengan IRI walaupun Tony Pua daripada DAP mendakwa parti itu menerima latihan daripada institusi itu.

“Semua parti di Malaysia mengambil bahagian dalam latihan mereka. Tidak kira parti, Umno, Gerakan, MCA, DAP dan PKR semua mengambil bahagian kerana ini adalah latihan komunikasi, latihan untuk Internet dan hal-hal seperti itu,” katanya. – 7 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen