SEBUAH badan pemikir Amerika Syarikat menafikan dakwaan yang ia bekerjasama dengan pembangkang yang kini jadi kerajaan, Pakatan Harapan dalam usahanya menyingkirkan pentadbiran terdahulu, Barisan Nasional.
Institut Republikan Antarabangsa (IRI) berkata ia adalah sebuah organisasi tidak memihak kepada mana-mana parti dan telah bekerjasama dengan rakan di Malaysia sejak 2002 lagi bagi memperkukuh kemampuan parti politik bersaing dalam pilihan raya dan patuh kepada amalan tadbir urus berpusat warga.
Katanya lagi, IRI menyediakan sokongan pembangunan keupayaan tanpa memihak kepada mana-mana parti politik dalam bentuk bengkel latihan langsung dan rundingan kepada kedua-dua pakatan politik, PH dan BN.
IRI juga berkata ia tidak memberikan bantuan kewangan kepada mana-mana parti politik Malaysia.
“Aktiviti ini melibatkan peserta merentasi spektrum politik dan sosial, dan melibatkan inisiatif yang direka untuk meningkatkan penglibatan golongan muda dalam ruang lingkup politik dan sivil serta untuk memperkukuh keupayaan organisasi pergerakan masyarakat sivil Malaysia. Menerusi usaha ini, IRI membantu warga Malaysia untuk mempertanggungjawabkan pemimpin yang dipilih dan menyuarakan kebimbangan mereka kepada kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kenyataan itu dikeluarkan susulan laporan portal berita Free Malaysia Today semalam, mendakwa Presiden IRI Daniel Twinning mengakui usaha badan pemikir Washington itu di Malaysia akhirnya membuahkan hasil pada Pilihan Raya Umum ke-14.
Beliau mendakwa kejayaan PH akan memberi kesan positif kepada Washington.
“Saya melawat dan saya duduk bersama-sama ramai pemimpin baharu dalam kerajaan baharu, ramai antara mereka adalah rakan kami yang bekerja dengan kami selama 15 tahun, dan salah seorang daripada mereka yang sekarang menguruskan kerajaan baharu berkata kepada saya, ‘Gosh, IRI, awak tak pernah putus harap kepada kami walaupun kami sendiri sudah hendak berputus asas,” kata Twinning dipetik berkata dalam satu forum bulan lepas.
Forum itu dianjurkan oleh Centre for Strategic & International Studies.
Susulan itu, Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin berkata PH tidak pernah bekerjasama dengan IRI untuk menyingkirkan kerajaan BN.
Menteri itu berkata beliau hanya mengenali IRI sebagai sebuah kumpulan pendesak yang memberi tumpuan kepada program pembangunan keupayaan.
“Jika awak merujuk kepada IRI datang ke Malaysia untuk program kepimpinan dan lain-lain, saya tak fikir dakwaan itu tepat.
Naib Presiden PKR Chua Tian Chang berkata IRI menganjurkan seminar di Malaysia untuk membincangkan jalan terbaik melakukan perubahan pilihan raya.
“Setakat yang saya tahu dana mereka digunakan untuk program sebegitu, program itu melibatkan pembangkang dan semua pergerakan masyarakat sivil yang memperjuangkan isu tersebut.
“Semua parti (dalam PH) tidak pernah dan tidak akan menerima dana asing. Kami (PKR) telah buat keputusan itu sejak Reformasi ketika PKR ditubuhkan. Kami tak pernah terima satu sen pun dana asing,” katanya. – 7 Ogos, 2018.
Komen