KETIKA melancarkan sambutan pertama Merdeka dan Hari Malaysia selepas kembali sebagai perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad memberitahu rakyat kerajaan akan mengawal kos sara hidup dan memastikan kebebasan.
Beliau berjanji kerajaan akan melihat kepada peningkatan kuasa membeli rakyat sebagai hasilnya.
“Ini akan berlaku kerana produktiviti kita akan meningkat menerusi cara baru yang lebih efisyen (dalam melakukan banyak perkara).”
Dr Mahathir juga berjanji rakyat akan lebih gembira dengan kebebasan bersuara dan kebebasan media.
Katanya hak asasi manusia boleh dinikmati oleh semua, dan rakyat bebas untuk mengkritik kerajaan.
“Mereka tidak akan ditindas dengan cukai tambahan, pembekuan akaun bank, penurunan pangkat, penamatan kontrak dan lain-lain kerana tidak menyokong kerajaan,” katanya.
Dr Mahathir berkata demikian ketika berucap pada perasmian Bulan Kebangsaan dan kempen Kibar Jalur Gemilang 2018 di Pulau Pinang malam ini. Turut hadir menteri kabinet dan kira-kira 30,000 rakyat.
Katanya, negara akan membangun sekiranya rakyat menikmati kemajuan, jadi peluang pelajaran akan ditingkatkan menerusi biasiswa dan penubuhan lebih banyak institusi pendidikan dan pusat latihan.
Latihan kemahiran juga akan diperkembangkan katanya bagi menjadikan rakyat Malaysia lebih laku dalam dunia pekerjaan.
Dr Mahathir juga memberitahu Malaysia akan kembali sebagai Harimau Asia.
Kerajaan yang dipilih rakyat katanya, berjanji akan bekerja keras untuk meletakkan Malaysia kembali pada kedudukannya.
Malaysia pernah diiktiraf sebagai Harimau Asia atau salah sebuah Harimau ekonomi Asia Tenggara ketika beliau mula menjadi perdana menteri dari 1981 hingga 2003.
“Kita yakin boleh melakukannya. Walau tidak keseluruhan, kita akan mampu meletakkan negara di landasan yang betul untuk terus maju ke arah itu.
“Kita hanya memerlukan kesabaran daripada rakyat, jentera kerajaan dan penjawat awam,” katanya.
Dr Mahathir berkata kerajaan tidak boleh berikan “wang percuma” kerana tidak mahu menyalahgunakan kuasa.
“Kami tidak akan menipu dan menubuhkan syarikat untuk menyeleweng wang sendiri.
“Tapi percayalah kita akan bangunkan negara, rakyat bukan hanya menikamti keuntungan daripada pembangunan, tetapi juga mendapat pekerjaan dan peluang perniagaan yang lebih baik,” katanya.
Dr Mahathir turut berharap rakyat akan menerima pelan dan strategi kerajaan baharu bagi membolehkan mereka bekerja.
“Sekiranya rakyat tidak bersedia atau siap untuk mengambil peluang yang diberikan kepada mereka, tiada satupun pelan itu akan berjaya,” katanya.
Dr Mahathir juga turut berterima kasih kepada rakyat Malaysia yang menyumbang kepada Tabung Harapan Malaysia. – 4 Ogos, 2018
Komen
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Aleeya sya · Ulasan