KEMENANGAN Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Sungai Kandis hari ini akan jadi pengajaran kepada parti itu untuk menghadapi dua lagi pilihan raya kecil di Selangor tidak lama lagi, kata Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari.
Walaupun menang, PH akan mengambil iktibar untuk mengatur strategi di Balakong dan Seri Setia kerana tidak sampai separuh daripada pengundi yang layak mengundi di Sungai Kandis keluar menunaikan tanggungjawab hari ini.
“Kita akan mengambil kira segala strategi untuk memastikan kemenangan (di Balakong dan Seri Setia).
“Kita akan berusaha dengan lebih giat untuk mendekati pengundi, mengenal pasti mereka dan mengajak mereka untuk turun mengundi supaya kemenangan yang lepas dikekalkan,” katanya pada sidang media selepas kemenangan calon PKR, Mohd Zawawi Ahmad Mughni.
Zawawi mengalahkan pencabar terdekatnya calon Barisan Nasional, Lokman Noor Adam dengan kelebihan 5,842 undi. Pada PRU14, calon PKR Shuhaimi Shafie menang dengan majoriti 12,480 undi.
Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Othman Mahmood memaklumkan peratusan pengundi yang keluar mengundi dalam pilihan raya kecil DUN Sungai Kandis ialah 49.89%.
Itu bagaimanapun katanya bukan yang terendah dalam sejarah pilihan raya iaitu 46% semasa pilihan raya kecil DUN Penanti dalam Parlimen Permatang Pauh pada 2009.
Pada PRU14, DUN Sungai Kandis mencatatkan peratus pengundi keluar mengundi sebanyak 85.57%.
Othman menyifatkan jumlah pengundi pada pilihan raya kecil ini rendah kerana ia diadakan terlalu dekat dengan pilihan raya umum.
Selepas Sungai Kandis, pilihan raya kecil DUN Balakong akan berlangsung pada 8 September selepas wakil rakyatnya Eddie Ng Tien Chee dari DAP meninggal dunia pada 20 Julai lepas akibat kemalangan jalan raya.
Pilihan raya kecil juga akan diadakan bagi kawasan DUN Seri Setia selepas wakil rakyatnya Dr Shahruddin Baharuddin dari PKR meninggal dunia pada 2 Ogos lepas setelah menderita kanser usus.
Semua tiga pilihan raya kecil ini diadakan dalam masa 100 hari selepas PRU14.
Sementara itu, Setiausaha Agung Umno Annuar Musa berkata majoriti rendah yang diperolehi PKR membuktikan protes rakyat ke atas parti itu dan kerajaan.
“Bagi BN, ini satu kejayaan kerana dapat menghalang PKR mencapai sasaran 10,000 majoriti.
“Ia membangkit kesedaran majoriti rakyat menolak kerajaan PH, dan ini satu permulaan yang sangat memberangsangkan,” katanya dalam satu kenyataan.
Ia juga melahirkan tunas kerjasama ke arah perpaduan ummah yang lebih padu terutama melalui kerjasama antara Umno dan PAS, katanya.– 4 Ogos, 2018
Komen
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Leng Kapri As Saribasi · Ulasan