PENGGUNAAN logo bersama Pakatan Harapan (PH) pada semua pilihan raya akan datang masih perlu mendapat kelulusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), kata Saifuddin Nasution Ismail.
Setiausaha agung PKR itu berkata sama ada gabungan itu akan menggunakan logo anak panah atau perkataan “Harapan”, ia bergantung kepada kelulusan suruhanjaya tersebut.
“Kita (PH) ada membincangkan perkara ini pada mesyuarat Majis Presiden PH. PH mahu menggunakan logo yang sama pada Pilihan Raya Kecil Balakong dan Seri Setia.
“Kita mahu cuba menggunakan logo yang sama - sam ada anak panah atau perkataan ‘Harapan’.
“Tetapi beberapa perkara perlu diselesaikan dulu. Pendaftaran Pertubuhan (RoS) sudah meluluskan pendaftaran PH sebagai sebuah gabungan. Sekarang kita perlu dapatkan kelulusan SPR bagi logo bersama,” beliau memberitahu pemberita di Pulau Pinang hari ini.
Semalam, Naib Presiden PKR Dr Xavier Jayakumar berkata PRK Sungai Kandis akan menjadi pilihan raya terakhir PH menggunakan logo PKR.
Sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), PH pernah cuba untuk mendaftar pakatan itu dan logonya untuk bertanding sebagai sebuah pakatan.
Namun di bawah kerajaan Barisan Nasional, pakatan itu berdepan banyak masalah untuk mendapatkan kelulusan RoS.
Bersatu juga berdepan kesukaran untuk didaftarkan sebagai sebuah parti.
“Kita akan selesaikan perkara ini dan membuat pengumuman secepat mungkin,” kata Saifuddin yang juga menteri perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna. – 4 Ogos, 2018.
Komen
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Aleeya sya · Ulasan