TIGA klip audio yang viral dikaitkan sebagai rakaman kritikan keras Ketua Umum PKR Anwar Ibrahim terhadap Timbalan Presiden Mohamed Azmin Ali dan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad tentulah menimbulkan kejutan.
Siapa yang tidak terkejut sebab antara rakaman audio itu menyebut perkataan ‘barua’.
Terkejut bukan perkataan tepat untuk mengistilahkan perasaan sebenar rakyat yang mendengarnya. Relatifnya, ia lebih kepada perasaan kecewa kerana krisis yang selama ini dibualkan secara lisan, sudah diperkuatkan dengan tersebarnya audio rakaman itu.
Anwar menafikannya. Dr Mahathir mengambil langkah selamat dengan menyifatkan dirinya tidak tahu menahu, malah tiada agenda campur tangan dalam soal politik dalaman PKR. Manakala Azmin, menolak wujudnya perbalahan membabitkan dirinya dengan Anwar, apalagi anggapan dia barua Dr Mahathir.
Kita anggap saja siri audio yang viral itu palsu. Namun, anggapan tidak boleh dipadamkan dan dipaksakan kepada rakyat. Ingat! Kalaupun ia palsu, secara lisan sebelum ini, krisis tiga penjuru Dr Mahathir-Anwar-Azmin sudah diperbualkan.
Kenapa?
Kerana sejak 10 Mei lalu, apabila Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan, keraian jatuhnya kerajaan Barisan Nasional (BN) dirayakan dengan pertanyaan berikut:
- Apakah Dr Mahathir dan Anwar mampu bekerjasama dalam soal peralihan kuasa seperti yang dijanjikan?
- Apakah gabungan empat parti dalam PH (PKR, DAP, Bersatu, Amanah) dan Warisan dapat bertahan dan kekal aman sebagai kolaborasi matang tanpa politiking yang komplikated?
- Apakah PH mampu kekal kukuh sebagai kerajaan?
Sekalipun sah sebaran audio itu palsu, ia sebenarnya tidak memadamkan kebimbangan awam. Rakyat sekarang sangat celik politik. Pembabitan aktif rakyat terutama 13 juta pengundi yang keluar melaksanakan tugas pada 9 Mei lalu, membuktikan wujudnya kefahaman dan sentimen luar biasa rakyat awam terhadap politik tanah air.
Majoriti undi PH yang diperolehi melalui pengundi muda meningkatkan lagi nilai PRU lalu sebagai gambaran: Ia satu kebangkitan nasionalisme dan patriotisme rakyat Malaysia yang benar-benar mahukan perubahan.
Mengapa rakyat bangkit dan menumbangkan BN? Kerana rakyat diyakinkan oleh kempen-kempen PH mengenai Malaysia Baharu yang lebih baik serta menuju perubahan yang diinginkan!
Justeru, tentu ada sebabnya rakyat gusar dengan krisis Dr Mahathir-Anwar-Azmin. Malah, rakyat juga gusar dengan krisis dalaman PKR. Memang Malaysia Baharu meraikan demokrasi. Namun, bukan dengan politik melampau yang kesannya mengakibatkan perpecahan dan keretakan dalam parti-parti PH.
Pertembungan Azmin-Rafizi di peringkat kerusi nombor dua sekali pun, akan ada kesannya. Apa lagi, kalau Azmin beralih arah dan tercetusnya pertembungan Azmin-Anwar bagi kerusi presiden. Rakyat akan makin gelabah.
PKR parti tunjang dalam PH. Stabiliti kepimpinan tertinggi PKR diperhatikan. Banyak impak perpecahan dalaman parti itu boleh berlaku dan tentunya dengan 49 kerusi parlimen, suasana politik dalaman PKR ada kesan terhadap stabiliti PH secara keseluruhan.
Musuh PH berangkali meraikan sebaran audio mirip suara Anwar itu sebagai bonus politik. Apa saja bentuk keretakan politik dalam PKR dan PH tentulah dinanti-nantikan musuh politik. Namun, bagi rakyat, ia satu petanda bencana.
Ada 13 juta pengundi hadir melaksanakan impian Malaysia Baharu. Sesuatu yang dianggap paling bersejarah dalam enam dekad kemerdekaan.
Namun, majoriti pengundi bukan ahli parti. PH harus menghormati prinsip ini. Rakyat bangkit kerana mahu menentang kleptokrasi, korupsi dan salah guna kuasa terhadap kebebasan.
Jadi, PKR harus terus kekal menyumbang kepada kekuatan PH untuk memenuhi janji ini.
Semua pemimpin dalam PH kini harus bertindak segera. Mainkan peranan kerana krisis Dr Mahathir-Anwar-Azmin-Rafizi ada impaknya pada impian dan harapan kami sebagai rakyat dan pengundi.
Ayuhlah pemimpin. Anda harus mengasihani kami. Pandanglah kami rakyat jelata yang mahu terus melangkah ke hadapan merealisasikan Malaysia Baharu yang penuh harapan. – 4 Ogos, 2018.
* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Siti Fatimah · Ulasan