GABENOR Pulau Pinang Abdul Rahman Abbas memberitahu kerajaan negeri supaya jangan mudah berpuas hati dan leka dengan kejayaan yang dicapai selama ini.
Beliau berkata walaupun Pakatan Harapan (PH) kini menjadi kerajaan Persekutuan, sikap ini akan menjejaskan usaha meningkatkan lagi kemajuan Pulau Pinang.
“Kemenangan ini bermakna akan ada sinergi antara kerajaan negeri dan Persekutuan,” katanya pada ucaptama sebagai tanda bermulanya persidangan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang ke-14.
Menurut Rahman, Pulau Pinang mempunyai banyak kekuatan seperti lokasinya yang strategik, pelbagai kemudahan dan institusi pengajian tinggi, yang menjadi pemacu kepada pertumbuhan sosio-ekonomi negeri, iaitu dalam sektor pembuatan dan pelancongan.
“Kita harus bersyukur Pulau Pinang mempunyai pakej yang lengkap buat pelabur. Saya yakin kepimpinan CAT (kompetensi, kebertanggungjawaban, ketelusan) negeri akan menarik lebih banyak pelabur dari dalam dan luar negara.
“Namun, saya berharap kita tidak mudah berpuas hati dengan pencapaian kita. Pencapaian ini mesti diteruskan dan ditingkatkan lagi.” – 3 Ogos, 2018.
Komen