Perbalahan remeh dalam pemilihan PKR jejas peluang Anwar jadi PM


Bede Hong

NAIB Presiden PKR Chua Tian Chang berkata taktik kotor dalam pemilihan parti mungkin boleh mencalarkan peluang Anwar Ibrahim untuk menjadi perdana menteri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Ogos, 2018.

NAIB Presiden PKR Chua Tian Chang berkata pemimpin parti sepatutnya mengelak sebarang politik fitnah dan berpuak-puak, yang akan menyebabkan pengundi hilang keyakinan terhadap parti.

PKR, komponen terbesar dalam Pakatan Harapan (PH) dengan 50 wakil rakyat persekutuan, akan mengadakan pemilihan partinya pada September hingga Oktober, tetapi sesi berkempen sudah bermula menjelang penamaan calon yang akan berlangsung bulan ini.

Chua, yang lebih dikenali dengan nama Tian Chua, berkata taktik kotor yang dilakukan bakal calon, termasuk menggunakan surat berantai yang tersebar menerusi media sosial mungkin boleh mencalarkan peluang Anwar Ibrahim untuk menjadi perdana menteri.

“Bagi membolehkan peralihan lancar untuk Anwar jadi perdana menteri, ia  bergantung pada tingkah laku calon kita pada pemilihan kali ini,” katanya menerusi temu bual di telefon dari luar negara.

“Jika kita tunjuk perangai kebudak-budakan dan hendak bergaduh sesama sendiri, kita akan hilang peluang jadi perdana menteri (daripada parti ini).

“Sukar untuk rakyat yakin yang kita boleh tadbir kerajaan,” kata bekas ahli Parlimen Batu itu kepada The Malaysian Insight.

Tian Chua juga mengkritik bakal calon timbalan presiden Rafizi Ramli kerana mengumumkan senarai nama rakan pemimpin yang bersamanya dan mendesak perwakilan supaya menyokong “pasukannya”.

“Kita hendak elak kumpulan yang berpaksikan kuasa yang hanya mahu jawatan. Janganlah jadi seperti ‘cai dan’,” katanya menggunakan perkataan Mandarin yang bermaksud menu makanan.

Amalan “menu” adalah biasa dalam pemilihan parti komponen Barisan Nasional, di mana senarai calon ditetapkan dan ia katanya bertindak sebagai garis panduan untuk perwakilan mengundi.

“Masyarakat meletakkan harapan tinggi pada kita. Pemilihan ini bukan tentang siapa gerak ke jawatan apa. Ia tentang menunjukkan perpaduan parti stabil supaya rakyat boleh percaya kepada kita untuk mentadbir kerajaan,” katanya.

Rafizi tidak bertanding pada PRU14 berikutan disabitkan bersalah dalam pertuduhan mendedahkan maklumat rahsia berkenaan National Feedlot Corporation. Beliau tidak memegang jawatan kecuali penyandang naib presiden parti.

Beliau dijangka melawan penyandang timbalan presiden Mohamed Azmin Ali, yang juga menteri hal ehwal ekonomi.

Pada Ahad lalu, Rafizi menamakan rakan sepasukannya iaitu Nurul Izzah Anwar, Johari Abdul, William Leong, S Kesavan, Fuziah Salleh, Rodziah Ismail, Akmal Nasir dan Raymond Ahuar.

Mereka akan bertanding empat jawatan naib presiden selain ketua Wanita dan Pemuda.

Tian Chua, yang juga tidak bertanding pada PRU14 selepas pegawai pengurus menolak pencalonannya susulan denda RM2,000 yang dikenakan terhadapnya atas kesalahan jenayah, masih belum membuat keputusan sama ada akan mempertahankan jawatannya atau tidak.

“Saya akan buat keputusan nanti. Belum lagi,” katanya.

Tian Chua berkata rakyat Malaysia memerhatikan dengan rapat sama ada parti itu dapat memberikan kepimpinan yang baik.

“PKR kini parti pemerintah. Nasib negara ini di bahu kita.

“Sama ada Rafizi atau Azmin, rakyat mahu lihat kita beri kepimpinan yang dapat membantu membina semula negara ini selepas pemerintahan 60 tahun BN.

“Kita perlu tunjuk bagaimana kita mahu jadi pemimpin parti ini dan kesungguhan bekerjasama dengan semua kumpulan untuk jadi inklusif.” – 3 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Satu pandangan dan nasihat yang baik dari Saudara Tian Chua. PKR memang dianggapkan sebagai parti yang asyik berbalah sesama sendiri. Tidak pernah kita dengar bahawa PKR didalam keadaan Aman dan Sejahtera. Malah kerap kali puak puak didalam parti bertekak suara di lingkungan awam. Apa akan jadi adalah buatan mereka sendiri : jadi jangan pula marah kepada rakyat jelata.

    Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh [email protected] · Ulasan

  • elakkan sebarang pergaduhan untuk pastikan sokongan kepada parti akan terus kukuh.. seelokknya jika ada masalah dalaman jangn dihebohkan..selesaikan sesama sendiri dan dapatkan kata putus.

    Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Aleeya sya · Ulasan