SEKATAN yang dibina Orang Asli mendapat sokongan padu Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar Sivarasa Rasiah yang menyifatkan usaha itu sebagai hak masyarakat tersebut untuk mempertahankan tanah mereka.
Sokongan tersebut hadir ketika keadaan genting dialami suku Temiar di Gua Musang yang menghadapi ancaman daripada syarikat pembalakan dan perladangan berhubung sekatan yang didirikan mereka di Kelantan.
Kerajaan negeri Kelantan turut mengancam untuk merobohkan sekatan berkenaan.
“Sekatan ini telah lama didirikan dan ia adalah hak mereka untuk melindungi tanah mereka,” kata Sivarasa.
Tambah Sivarasa, tindakan ancaman dan menakut-nakutkan terhadap aktivis yang mendirikan sekatan berkenaan tidak boleh diterima.
“(Ancaman ini) adalah menyalahi undang-undang. Jika ia berlaku lagi dan dibawa kepada perhatian saya, saya akan bawanya kepada pihak berkuasa supaya tindakan boleh diambil,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengunjungi dua sekatan Orang Asli di Kaleg dan Cawas, yang terletak di hutan simpan Ulu Kelantan dan dua jam perjalanan dari Gua Musang.
Timbalan menteri itu mengulas laporan oleh aktivis Orang Asli bahawa individu yang mempunyai kaitan dengan syarikat pembalakan dan perladangan menggugut mereka secara fizikal kerana mendirikan sekatan tersebut.
Sekatan itu sudah didirikan sejak lima bulan lalu bagi menghalang pembalak dan peladang yang menurut masyarakat itu menjarah tanah adat serta memusnahkan hutan yang menjadi sumber makanan dan air bersih.
Dalam insiden terbaru pada 26 Julai, sekumpulan lelaki menghalang satu-satunya jalan masuk ke enam perkampungan Orang Asli dekat Kaleg dan menghalang kenderaan daripada memasuki kawasan tersebut.
Mereka menyekat laluan tersebut dengan kenderaan pikap dan sebuah lori, malah menghalang guru daripada membuat perjalanan ke sebuah sekolah di kampung Pos Tohoi. Sebuah van, yang sepatutnya membawa penduduk yang sakit, turut dihalang daripada memasuki perkampungan berkenaan.
Sekumpulan lelaki, yang dipercayai mempunyai kaitan dengan syarikat perladangan, membuat sekatan di jalan terbabit sebagai tindakan balas terhadap sekatan yang didirikan Orang Asli - dinamakan sebagai sekatan Kaleng.
Kumpulan berkenaan menghentikan sekatan mereka selepas diarahkan oleh polis daerah Gua Musang.
Pada 9 dan 10 Jun, beberapa aktivis mendakwa pekerja ladang, bersenjatakan senapang, cuba melanggar mereka dengan sebuah trak pikap.
Aktivis lain di sekatan lain di Kuala Wok, memberitahu Sivarasa semasa lawatan tersebut, bahawa pembalak turut mengepung dan melepaskan tembakan ke udara apabila mereka cuba menghalang mereka.– 2 Ogos, 2018.
Komen