Annuar Musa guna sajak kecam Malaysia Baharu


Kamles Kumar

Setiausaha Agung Umno Annuar Musa dalam sajaknya malam tadi di kempen PRK Sungai Kandis mendakwa era Malaysia Baharu memberi kuasa kepada pengikut Syiah, komunis dan pengganas. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 2 Ogos, 2018.

ANNUAR Musa bersajak malam tadi dalam kempen calon Barisan Nasional di Pilihan Raya Kecil Sungai Kandis, menawarkan versi peribadinya mengenai Malaysia “Baharu”.

Setiausaha agung Umno itu menulis sajak yang dibacakan kepada hadirin hampir 100 orang yang berkumpul di depan sebuah restoran untuk mendengar ucapannya.

Annuar berkata selepas kejayaan Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, Malaysia tidak lagi sama seperti dahulu.

Katanya, orang Melayu hilang kuasa dan dianggap orang luar sedangkan DAP pegang kuasa.

“Kuasanya tidak ditangan Melayu, orang DAP menjadi penentu.

“Orang lain dikira tuan, orang Melayu dikira pendatang.”

Bekas pengerusi Mara itu juga berkata Islam dipinggirkan apabila PH berkuasa dan pengikut Syiah dilantik jadi menteri.

“Yang Syiah menjadi menteri, yang sosialis duduk tinggi. Yang berkuasa adalah DAP.”

Annuar juga memperlekeh pelantikan menteri era PH mendakwa mereka adalah penyokong pengganas.

“Penyokong pengganas, menjadi menteri. Pembela Chin Peng, menjadi AG (peguam negara). Yang menyokong murtad, berjawatan tinggi.”

Bekas menteri itu juga berkata imej Raja dalam Malaysia Baharu sudah tercemar.

“Raja dan Sultan bahan dimaki, ideologi komunis nak jadi buku mengaji.”

Selain itu, beliau turut mengecam komuniti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) menyifatkan ia semakin “menjadi”.  

“Yang homosexual akan kemari, yang LGBT makin menjadi.”– 2 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • kerajaan baru sekarang mungkin mempunyai pendiriannya yang tersendiri, kenapa perlantikan yang dibuat bukan dalam kalangan orang melayu..apa pun diharapkan semoga, isu ini tidak mempengaruhi kerajaan baru untuk terus membangunkan negara

    Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Aleeya sya · Ulasan