PENTADBIR universiti awam mempersoalkan tindakan Menteri Pendidikan Maszlee Malik yang mahu mereka memberi sokongan penuh kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) atau melepaskan jawatan masing-masing.
Seorang pentadbir yang enggan namanya disiarkan berkata pelantikan naib canselor (NC) bukannya lantikan politik sebaliknya dipilih berdasarkan pengalaman dan kemampuan individu tersebut.
“Sekiranya pelantikan naib canselor yang ada sekarang ini dianggap lantikan politik kerajaan Barisan Nasional dahulu, apa yang dilakukan oleh Maszlee sekarang sama jugalah.
“Menteri pendidikan perlu faham, naib canselor bekerja dengan kerajaan pemerintah.
“Menamatkan perkhidmatan orang lama dengan melantik dari kalangan penyokong PH tidak akan membebaskan universiti awam itu dari pengaruh politik,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Beliau mengaku memang ada pentadbir universiti awam yang memberi sokongan kepada Barisan Nasional (BN) tetapi itu bukan alasan untuk memaksa naib canselor letak jawatan kerana “ramai antara mereka profesional dan berjasa”.
“Sekiranya kerajaan tetap bertegas, negara akan kehilangan ramai ilmuan berkaliber,” ujarnya.
Pentadbir universiti itu menambah tindakan Maszlee juga akan memberi kesan negatif terhadap kesinambungan pembangunan akademik sesebuah universiti kerana banyak program yang dirancang akan terjejas.
Maszlee sebelum ini meminta pentadbir universiti awam yang berkomplot dengan pemimpin BN dan cuba menggagalkan agenda perubahan institusi pendidikan di bawah kerajaan PH meletak jawatan secara sukarela.
Setakat ini, lima pengerusi universiti awam telah diberhentikan oleh Kementerian Pendidikan. Mereka ialah Zaki Azmi dari Universiti Malaysia Sabah, Shufri Mohd Zin (Universiti Tun Hussein Onn), Kamaruddin Hussin (Universiti Sultan Zainal Abidin), Noorul Ainur Mohd Nur (Universiti Sains Malaysia), dan Anuar Ali (Universiti Putra Malaysia).
Pensyarah undang-undang Azmi Sharom sebelum ini menyifatkan tindakan Maszlee mendesak naib canselor universiti awam yang pro BN meletak jawatan sebagai satu langkah berisiko kepada Putrajaya.
Tegas Azmi, Maszlee seharusnya melaksanakan sistem yang mengurangkan campur tangan kerajaan dalam pelantikan lembaga pengarah universiti dan naib canselor sebaliknya lebih melibatkan kakitangan dan wakil pelajar.
“Memang sistem sekarang ada kelemahan kerana terlalu dikuasai oleh kerajaan. Kerana itu Maszlee harus berhati- hati kerana realitinya beliau telah campur tangan dengan universiti.
“Jadi beliau perlukan alasan yang betul dan selepas itu mulakan dengan memperbaiki kaedah pemilihan secara keseluruhan untuk lembaga pengarah dan naib canselor,” ujarnya. – 1 Ogos, 2018.
Komen
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Joeco joeco6 · Ulasan
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh NA Bayezid · Ulasan