PENTADBIR universiti awam yang berkomplot dengan pemimpin Barisan Nasional dan cuba menggagalkan agenda perubahan institusi pendidikan di bawah kerajaan Pakatan Harapan disaran meletak jawatan secara sukarela, kata Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik.
Jelas beliau, pihak kementerian menerima laporan ada pentadbir universiti awam yang masih berkomunikasi dengan bekas menteri dan pemimpin BN.
“Saya tak pasti apakah dengan mengatakan bahawa ada di antara mereka terlibat aktif dengan BN, dan ternyata mereka masih berhubung dengan mantan menteri dan pemimpin BN membuktikan mereka terlibat dengan (pemimpin sebelah) sana.
“Saya ada menawarkan kepada mereka supaya meletakkan jawatan tanpa diambil tindakan, jikalau mereka rasa tidak boleh melaksanakan agenda reform atau bersama memacu perubahan universiti awam untuk membawa agenda perubahan secara menyeluruh,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.
Bagaimanapun, Maszlee yang juga ahli Parlimen Simpang Renggam itu tidak mendedahkan bilangan sebenar pentadbir universiti awam yang terlibat dalam perkara tersebut.
“Ramai lagi VC (timbalan canselor) yang bersikap profesional. Malah ramai di antara mereka yang disambung (perkhidmatan) dan mereka tidak berpolitik.
“Cuma laporan sesetengah (pentadbir) yang begitu aktif pada pilihan raya yang lepas, dengan berkempen untuk BN dan juga terlibat dengan usaha menyingkirkan atau mengenakan tindakan (kepada) kakitangan universiti yang tidak sehaluan dengan mereka (BN), memang banyak laporan.
“Jadi kita dapati mereka tak dapat dokong agenda reform universiti awam,” katanya.
Semalam, The Malaysian Insight melaporkan pemberhentian lima pengerusi universiti awam oleh Kementerian Pendidikan. Mereka ialah Zaki Azmi dari Universiti Malaysia Sabah, Shufri Mohd Zin dari Universiti Tun Hussein Onn, Kamaruddin Hussin dari Universiti Sultan Zainal Abidin, Noorul Ainur Universiti Sains Malaysia, dan Anuar Ali Universiti Putra Malaysia.
Sumber yang mengetahui isu tersebut juga berkata yang ramai lagi lantikan politik BN di universiti awam akan ditamatkan khidmat dalam usaha kerajaan PH membebaskan semua institusi awam daripada pengaruh politik. – 1 Ogos, 2018.
Komen