Lebih ramai pengerusi universiti awam digugurkan


Menteri pendidikan Maszlee Malik sebelum ini berkata langkah itu bagi membolehkan dasar Pakatan Harapan untuk membuang lantikan politik dan menggantikan mereka dengan orang yang lebih berkelayakan.– Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Julai, 2018

PENGERUSI lima universiti awam ditamatkan perkhidmatan hari ini oleh Kementerian Pendidikan ketika Putrajaya meneruskan untuk membuang lantikan politik dalam lembaga universiti. 

Menerusi beberapa surat yang dilihat oleh The Malaysian Insight, Zaki Azmi dari Universiti Malaysia Sabah, Shufri Mohd Zin dari Universiti Tun Hussein Onn, Kamaruddin Hussin dari Universiti Sultan Zainal Abidin, Noorul Ainur Universiti Sains Malaysia, dan Anuar Ali Universiti Putra Malaysia antara perkhidmatannya ditamatkan hari ini. 

Surat itu dikeluarkan pada 23 Julai ditandatangani Menteri Pendidikan Maszlee Malik. 

Menurut sumber, lembaga pengarah di universiti berkenaan juga diberi surat memendekkan tempoh perkhidmatan. 

“Lembaga pengarah yang lain turut diberikan surat,” kata sumber yang enggan dinamakan kepada The Malaysian Insight. 

Zaki merupakan bekas Ketua Hakim Malaysia, Kamaruddin merupakan bekas naib canselor di Universiti Malaysia Perlis selama 14 tahun, Anuar Ali merupakan ahli akademik dan Noorul merupakan bekas ketua setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi ketika Barisan Nasional berkuasa. 

Shufri merupakan pengarah urusan TRC Synergy Bhd, salah satu kotraktor bagi projek Transit Aliran Massa Sg Buloh-Serdang-Putrajaya (Line2).

Terdapat desas desus tiga lagi pengerusi universiti awam akan dipecat dalam masa terdekat. 

Ini akan diikuti dengan rombakan semula dan penamatan naib canselor universiti awam. 

Terdahulu hari ini, The Malaysian Insight melaporkan tiga ahli lembaga pengarah Universiti Malaya ditamatkan perkhidmatan berkuatkuasa hari ini ketika Putrajaya meningkatkan usahanya untuk membuang lantikan politik dalam pentadbiran universiti. 

Jun lalu, Maszlee berkata naib canselor dan timbalan naib canselor universiti awam yang berasal dari Barisan Nasional akan diminta meletakkan jawatan dari kedudukan mereka. 

Menteri pendidikan itu berkata ini bagi membolehkan dasar Pakatan Harapan untuk membuang lantikan politik dan menggantikan mereka dengan orang yang lebih berkelayakan. 

Beliau berkata demikian mengulas sama ada Kementerian Pendidikan akan mengikut langkah untuk membuang lantikan politik di perkhidmatan separa kerajaan, seperti badan berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC). – 31 Julai, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen