Kementerian Kesihatan siasat kes gangguan seksual doktor pelatih


Jason Santos

Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad meminta kementeriannya diberi ruang untuk menyiasat dakwaan salah laku seksual melibatkan salah seorang doktornya untuk mengelakkan penghakiman media terhadap suspek.– Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Ogos, 2018.

MENTERI Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad meminta kementeriannya diberi ruang untuk menyiasat dakwaan salah laku seksual melibatkan salah seorang doktornya untuk mengelakkan penghakiman media terhadap suspek.

Beliau memberi jaminan yang kementeriannya akan menyiasat kes itu dan meminta supaya hebahan mengenainya dihentikan.

“Perlu saya katakan di sini, saya sudah memulakan siasatan dan ia dilakukan bagi mengelakkan penghakiman media.  

“Saya tidak akan dedahkan identiti individu terbabit kerana ia adalah langkah yang terbaik untuk siasatan ini.

“Anda mesti meletakkan kepercayaan kepada kami bahawa terdapat mangsa yang cukup berani untuk berkongsi maklumat penting kepada kami,” katanya kepada media semasa lawatan ke Kota Kinabalu, Sabah, hari ini.

Ahad lalu, The Star mendedahkan dalam laporannya bahawa seorang doktor kanan yang berkhidmat di hospital sekitar Lembah Klang didapati melakukan gangguan seksual ke atas beberapa doktor pelatih wanita.

Doktor kanan yang dituduh menjadi pemangsa seks itu sudah diarahkan supaya bercuti susulan pendedahan lanjut akhbar tersebut mengenai dakwaan salah laku berkenaan.

Beliau berkata kementerian dapat menjalankan siasatan dengan lebih baik tanpa pihak media berterusan mendedahkan kes berkenaan.

Apabila ditanya sama ada beliau meluluskan perintah oleh pihak berkuasa kesihatan Selangor, beliau berkata: “Tidak, saya tahu.”

Terdahulu, Dr Dzulkefly menyatakan bahawa tidak ada peruntukan bagi penyelenggaraan 20 klinik di Sabah sejak April tahun ini dan oleh kerana itu kemudahan tersebut tidak berada di tahap yang baik.

“Kami sedang dalam proses mengeluarkan tender baru dan mesyuarat mengenai peruntukan yang dipengerusikan oleh setiausaha kementerian pada Ogos ini,” katanya.– 1 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen