Kes serangan seksual, ketua jabatan Hospital Sungai Buloh diarah bercuti


Yasmin Ramlan

Hospital Sungai Buloh sahkan pegawai kanan tersebut tidak letak jawatan tetapi diarahkan bercuti. – Gambar Facebook, 31 Julai, 2018.

HOSPITAL Sungai Buloh mengesahkan seorang ketua jabatan ortopedik hospital tersebut yang didakwa melakukan siri serangan seksual terhadap pegawai perubatan wanita jagaannya diarahkan bercuti untuk siasatan.

Sumber hospital tersebut berkata, pegawai itu telahpun berbuat demikian sebelum Kemeterian Kesihatan mengeluarkan arahan rasmi semalam agar individu itu bercuti ketika siasatan dijalankan.

“Tiada peletakan jawatan dari pegawai tersebut… Saya tak boleh komen. Dia diarah bercuti sehingga siasatan selesai,” katanya kepada The Malaysian Insight. 

Sumber berkenaan mengulas laporan The Star yang mendedahkan beberapa aduan pegawai perubatan wanita di bawah jagaan individu tersebut yang mendakwa diserang dan diganggu secara seksual.

Beliau juga berkata, masa sebenar kejadian tersebut bagaimanapun tidak dapat dikenal pasti kerana tiada aduan rasmi dilaporkan mangsa. 

“Polis mengesahkan tiada laporan polis diterima… Mungkin pengadu malu untuk buat aduan secara formal.

“Tiada aduan rasmi. Hospital sudah buat semakan,” kata sumber tersebut lagi.

Laporan The Star dua hari lalu mendakwa individu tersebut menjadikan pegawai wanita muda sebagai mangsa kerana pelatih berkenaan terpaksa bergantung kepadanya untuk lulus latihan perubatan. 

Menurut laporan itu lagi, salah seorang mangsa mendakwa membuat laporan polis tahun lepas tetapi tiada tindakan diambil. 

Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad telahpun memberi jaminan akan menemui Menteri Wanita Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Timbalannya Hannah Yeoh bagi membincangkan kes tersebut. – 31 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen