MOHAMAD Sabu berkata Najib Razak boleh mempersendakan hobinya yang suka memasak tetapi bekas perdana menteri itu boleh memastikan beliau tidak akan mencuri wang kerajaan.
Menteri pertahanan yang lebih senang dipanggil Mat Sabu itu membalas kenyataan Najib baru-baru ini yang mendakwa beliau hanya pandai memasak semasa ceramah di Sungai Kandis malam tadi.
“Tetapi apabila saya pergi ke Kementerian Pertahanan, saya tidak masak. Saya adalah menteri pertahanan. Tetapi beliau yang ada RM114 juta di rumahnya,” kata Mat Sabu, merujuk kepada wang yang disita polis pada Mei.
Beliau berkata Najib perlu bertaubat atas apa yang dilakukannya.
“Apabila menyerang saya di Parlimen, saya akan jawab di Parlimen. Tetapi apabila beliau menyerang saya di luar, saya akan menjawab di luar,” kata Mat Sabu disambut sorakan kira-kira 800 penduduk Jalan Kebun yang berkumpul pada program ceramah Pakatan Harapan.
Beliau memberitahu orang ramai Timbalan Menteri Dalam Negeri, Mohd Azis Jamman memberi jaminan kepada Parlimen semalam yang kerajaan akan memburu ahli perniagaan Low Taek Jo, atau lebih dikenali sebagai Jho Low.
“Kami akan memburunya hingga ke hujung dunia. Selagi tidak jumpa, kita tidak akan mengetahui sejauh mana skandal 1Malaysia Development Berhad,” kata presiden Amanah itu.
Mat Sabu, yang bercakap selepas Ketua Umum PKR Anwar Ibrahim muncul dalam kempen Sungai Kandis, berkata hidup ini sangat lucu.
“Ada orang yang pergi ke penjara dahulu dan kemudian menjadi menteri. Dan kemudian ada orang yang pergi ke penjara dan kemudian menjadi menteri sebelum dipenjara lagi. Tetapi beliau (Anwar) tidak lama lagi akan menjadi perdana menteri seterusnya.
“Tetapi yang paling teruk ialah mereka yang menjadi menteri dan perdana menteri sebelum dipenjarakan. Dan itu adalah yang paling teruk kerana ia akan mengakhiri legasinya,” katanya.
Mat Sabu berkempen untuk calon PKR, Zawawi Ahmad Mughni dalam pertembungan tiga penjuru yang menentang Lokman Noor Adam dan K Murthy (calon bebas) dalam pilihan raya kecil Sungai Kandis.
Seramai 51,230 pengundi akan mengundi bagi kerusi DUN Sungai Kandis pada Sabtu ini. – 1 Ogos, 2018.
Komen