Lantikan Khazanah untuk bantu penyusunan semula dasar ekonomi, kata Azmin


Kamles Kumar

PELANTIKAN Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sebagai pengerusi Khazanah selari dengan rancangan ekonomi kerajaan, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi Azmin Ali.– Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Julai, 2018.

PELANTIKAN Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sebagai pengerusi Khazanah selari dengan rancangan ekonomi kerajaan, kata Azmin Ali.

Menteri hal ehwal ekonomi itu berkata lantikan berkenaan, yang turut melibatkan dirinya selaku ahli lembaga pengarah, adalah hak mutlak Dr Mahathir sebagai perdana menteri dan pengerusi.

“Kita harus ingat bahawa ia adalah hak mutlak perdana menteri. Mengikut kelaziman, perdana menteri akan memegang jawatan pengerusi (Khazanah),” kata Azmin kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Timbalan presiden PKR itu menambah, yang pelantikannya itu dibuat kerana kerajaan mahu merombak pelan ekonomi akhir tahun.

“Keputusan untuk melantik saya adalah selari dengan rancangan untuk penyusunan semula dasar ekonomi dan agenda ekonomi yang kami akan bentangkan,” kata Azmin.

Bagaimanapun, katanya, Khazanah akan tetap diuruskan oleh golongan profesional.

“Khazanah akan diuruskan oleh golongan profesional. Perdana menteri sedang meneliti beberapa nama,” kata Azmin.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Perdana Menteri semalam, Azmin dilantik sebagai pengarah ahli lembaga Khazanah bersama-sama Mohd Hassan Marican, Dr Sukhdave Singh dan Goh Ching Yin. Dr Mahathir pula dinamakan sebagai pengerusi.

Pelantikan seorang pengarah urusan akan dibuat kemudian, kata kenyataan itu lagi.– 31 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen