Gugur pengerusi universiti awam bukan langkah politik, kata menteri


Kamles Kumar

Penyingkiran pengerusi universiti awam bukan langkah politik sebaliknya selari dengan agenda pembaharuan yang dibawa Pakatan Harapan, kata Maszlee Malik.– Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Julai, 2018.

PENYINGKIRAN pengerusi universiti awam bukan langkah politik sebaliknya selari dengan agenda pembaharuan yang dibawa Pakatan Harapan, kata Maszlee Malik.

Menteri pendidikan itu berkata beliau mematuhi arahan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad untuk merombak sistem pendidikan.

“Ia bukan tentang penyingkiran, ia tentang perubahan, untuk muka-muka baru, dengan satu semangat baru dan semangat untuk perubahan.

“Kita mahukan mereka yang boleh membawa agenda perbaharuan institusi ke hadapan,” kata Maszlee kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

The Malaysia Insight melaporkan yang lima pengerusi universiti awam disingkirkan tanpa sebarang alasan.

Wakil rakyat Bersatu itu menambah, mereka yang disingkirkan hari ini adalah lantikan politik daripada kerajaan Barisan Nasional (BN) terdahulu.

“Mereka yang diganti adalah lantikan politik,” kata Maszlee.

Ahli Parlimen Simpang Renggam berkata lebih ramai lagi yang akan disingkirkan dalam masa terdekat.

“Tunggu dan lihat. Ia bukan tentang penyingkiran. Ia tentang mempunyai kempinan baharu dengan idea yang segar,” kata Maszlee.

Menerusi beberapa surat yang dilihat oleh The Malaysian Insight, Zaki Azmi dari Universiti Malaysia Sabah, Shufri Mohd Zin dari Universiti Tun Hussein Onn, Kamaruddin Hussin dari Universiti Sultan Zainal Abidin, Noorul Ainur Universiti Sains Malaysia, dan Anuar Ali Universiti Putra Malaysia antara perkhidmatannya ditamatkan hari ini.

Terdapat desas desus tiga lagi pengerusi universiti awam akan dipecat dalam masa terdekat.

Ini akan diikuti dengan rombakan semula dan penamatan naib canselor universiti awam.

Terdahulu hari ini, The Malaysian Insight melaporkan tiga ahli lembaga pengarah Universiti Malaya ditamatkan perkhidmatan berkuatkuasa hari ini ketika Putrajaya meningkatkan usahanya untuk membuang lantikan politik dalam pentadbiran universiti.

Jun lalu, Maszlee berkata naib canselor dan timbalan naib canselor universiti awam yang berasal dari Barisan Nasional akan diminta meletakkan jawatan dari kedudukan mereka.

Menteri pendidikan itu berkata ini bagi membolehkan dasar Pakatan Harapan untuk membuang lantikan politik dan menggantikan mereka dengan orang yang lebih berkelayakan.

Beliau berkata demikian mengulas sama ada Kementerian Pendidikan akan mengikut langkah untuk membuang lantikan politik di perkhidmatan separa kerajaan, seperti badan berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC). – 31 Julai, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen