SEKUMPULAN individu didakwa ada hubungan dengan sebuah syarikat perladangan bertindak menyekat satu-satunya jalan masuk perkampungan Orang Asli di Gua Musang, Kelantan.
Ia adalah pertikaian terbaru antara masyarakat Temiar dan syarikat perladangan tersebut berkaitan akses kepada hutan dara yang kaya sumber di pedalaman Kelantan yang juga kawasan tadahan air utama negeri.
Hampir lima bulan sudah berlalu, tetapi Orang Asli masih terus membuat sekatan untuk menghalang lori balak, pengaut dan jentera berat daripada memasuki dan memusnahkan hutan simpan di hulu Kelantan yang menjadi punca kelangsungan hidup komuniti itu.
Jumaat lalu, sekumpulan lelaki dipercayai daripada syarikat perladangan itu cuba melalui sekatan menggunakan alasan mereka mahu pergi ke dusun durian.
Bagaimanapun selepas dihalang masuk oleh pengawal, aktivis kebajikan Orang Asli Mustafa Along berkata, lelaki itu meletakkan kenderaan mereka di sekatan tersebut seterusnya menutup terus laluan keluar masuk 27 perkampungan di kawasan itu.
Untuk ke Pos Simpor, Pos Tohoi dan Pos Gop, jalan itu adalah satu-satunya laluan keluar masuk, kata Mustafa dari Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan (JKOAK).
“Mereka malah halang sebuah van yang mahu bawa orang sakit dari Pos Gop. Van terpaksa patah balik tanpa ambil pesakit,” kata Mustafa kepada The Malaysian Insight.
Guru dari sekolah di Pos Tohoi juga dihalang pergi ke Gua Musang, tambahnya.
Siti Kasim, peguam yang mewakili komuniti Orang Asli tersebut memuat naik sebuah video di Facebooknya, mendakwa anak guamnya diugut dicederakan.
Pusat Prihatinan Orang Asli (Coac) pula berkata kumpulan lelaki itu mahu memasuki kawasan yang telah ditebang dan dibersihkan untuk memulakan penanaman durian.
Tetapi mereka dihalang masuk oleh sekatan Orang Asli.
“(Orang tersebut) datang pada Sabtu untuk cuba musnahkan sekatan Orang Asli. Tetapi Orang Asli halang mereka. Jadi untuk membalasnya, mereka tak benarkan orang keluar masuk kampung,” kata Penyelaras Coac Dr Colin Nicholas.
Gambar yang dimuatnaik Mustafa menerusi akaun Facebooknya menunjukkan dua kumpulan berbeza berada di kawasan kepungan.
Sekeping gambar menunjukkan kenderaan pacuan empat roda dan lori diparkir di depan sekatan untuk menghalang laluan. Gambar lain pula menunjukkan ketua kumpulan peladang itu, seorang memakai skaf merah di kepala dan seorang lagi memakai jaket neon.
Mustafa berkata wakil komuniti sudah membuat laporan polis pada Ahad tetapi masih tiada tindakan diambil pihak berkuasa. – 31 Julai, 2018.
Komen