PENGARAH Urusan Khazanah Nasional Berhad Azman Mokhtar menamatkan tugasnya hari ini, sementara syarikat dana kedaulatan itu menunggu pengganti beliau selepas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengambil alih sebagai pengerusi lembaga pengarah yang baharu berkuat kuasa semalam.
The Malaysian Insight difahamkan Azman mempengerusikan mesyuaratnya yang terakhir sebagai pengarah urusan semalam selepas Pejabat Perdana Menteri mengumumkan barisan lembaga pengarah baharu untuk syarikat yang memegang kepentingan strategik merentas sektor termasuk kewangan, kesihatan, telekomunikasi, penerbangan dan utiliti.
“Hari terakhir Azman sebagai ketua Khazanah ialah 31 Julai. Beliau akan berjumpa dengan PM dan menyerahkan fail serah tugas,” kata sumber kepada The Malaysian Insight.
Azman dan semua ahli lembaga pengarah Khazanah menyerahkan surat letak jawatan tidak bertarikh minggu lalu kepada pemegang saham utamanya Kementerian Kewangan Diperbadankan (MoF Inc).
Perletakan jawatan itu diterima oleh JPM, yang menjelaskan ia bukan “balas dendam” tetapi untuk “membolehkan kerajaan menstruktur semula syarikat tersebut” demi hala tuju masa depan syarikat pelaburan strategik itu.
The Malaysian Insight difahamkan pengarah-pengarah dana kedaulatan itu bermesyuarat pada Selasa dan memutuskan menyerahkan surat perletakan jawatan tidak bertarikh, termasuk Azman yang akan tamat kontrak pada Jun 2019.
Ahli lembaga pengarah yang turut meletakkan jawatan ialah Md Nor Md Yusof, Mohamed Azman Yahya, Mohammed Azlan Hashim, Raja Arshad Raja Uda, Andrew Sheng Len Tao, Nazir Abdul Razak, Nirmala Menon dan Yeo Kar Peng.
Selain Dr Mahathir sebagai pengerusi, JPM semalam mengumumkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali turut menyertai lembaga pengarah bersama bekas pengerusi Petronas, Hassan Merican; bekas timbalan gabenor Bank Negara Malaysia Dr Sukhdave Singh dan bekas pengarah eksekutif Suruhanjaya Sekuriti Goh Ching Yin.
Secara tradisi, lembaga pengarah Khazanah dipengerusikan oleh perdana menteri dan turut dianggotai menteri kewangan dan ketua setiausaha perbendaharaan.
Namun bekas perdana menteri Najib Razak, bekas menteri kewangan II Johari Abdul Ghani dan bekas ketua setiausaha perbendaharaan Irwan Serigar Abdullah letak jawatan pada 31 Mei selepas Barisan Nasional (BN) tersingkir dalam pilihan raya umum 9 Mei.
The Malaysian Insight melaporkan pada 13 Julai lepas Khazanah akan diterajui pengarah urusan baru, yang pertama dalam masa 14 tahun, selepas kenyataan Dr Mahathir seminggu sebelum itu bahawa dana kedaulatan itu akan diberi hala tuju baru dengan kepimpinan yang baru.
Azman membayangkan beliau sedia bersara awal sekiranya ada arahan dari Putrajaya. Beliau bagaimanapun gagal mendapatkan temu janji untuk berjumpa dengan Dr Mahathir.
Sejak beberapa minggu lalu, pimpinan syarikat dan dana pelaburan berkaitan kerajaan telah berhenti atau tidak diperbaharui kontrak mereka, termasuk pengerusi Permodalan Nasional Berhad Abdul Wahid Omar, yang letak jawatan pada Jun selepas tidak dapat berjumpa Dr Mahathir.
Dr Mahathir, yang menubuhkan Khazanah pada 1994 untuk memegang saham dalam syarikat kerajaan, memberitahu media tempatan bahawa “mereka tidak lagi mengikut matlamat asal penubuhan Khazanah.”
Perdana menteri yang kembali berkuasa selepas 15 tahun bersara itu berterus terang tentang Khazanah apabila berkata syarikat pelaburan strategik itu “melakukan semua perkara pelik seperti membeli rumah dan mengambil alih syarikat.”
Komen Dr Mahathir itu menimbulkan tanda tanya mengenai kedudukan Azman sebagai pengarah urusan Khazanah, jawatan yang disandangnya di bawah dua perdana menteri.
Dalam maklum balasnya, Khazanah dalam satu kenyataan minggu lalu berkata ia “meminta penjelasan lanjut yang perlu dari kerajaan dan pihak berkenaan yang lain… bertujuan untuk mendapat penjelasan, pengukuhan dan melaksanakan mandat kami sebagai dana pelaburan strategik Kerajaan Malaysia.”
Laman web Khazanah menunjukkan syarikat itu memegang dan mengurus aset komersial dimiliki kerajaan. Ia juga bertanggungjawab atas pelaburan strategik bagi pihak negara dan berkepentingan dalam lebih 100 syarikat dalam sejumlah sektor daripada tenaga dan penerbangan kepada rawatan kesihatan dan perkhidmatan kewangan.
Setakat Disember 2017, Khazanah mempunyai aset boleh direalisasikan bernilai RM157.2 bilion manakala aset bersih yang diselaras mencecah nilai tertinggi RM115.6 bilion. – 31 Julai 2018
Komen