KHAZANAH Nasional Bhd membuat keputusan perniagaan yang “pelik”, yang membuatkan ia lari daripada matlamat asal, kata Dr Mahathir Mohamad hari ini.
Khazanah membuat pelaburan yang tidak jelas dan bukannya menyumbang kepada ekonomi Bumiputera, kata perdana menteri itu.
“Agak jelas mereka melakukan semua perkara pelik seperti membeli rumah dan mengambil alih syarikat.
“Khazanah sebelum ini ditubuhkan untuk membeli saham yang diperuntukkan kepada Bumiputera, apabila mereka membelinya, mereka jual secepat mungkin kepada pihak lain,” kata Dr Mahathir pada sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya hari ini.
“Untuk menghalang mereka (Bumiputera) daripada melakukannya, kita tubuhkan Khazanah. Kini, mereka membeli semua saham, untuk mereka sendiri, sama ada ia untuk Bumiputera atau tidak.
“Jadi, mungkin ia perlu kembali kepada matlamat asal,” katanya.
Sehingga Disember 2017, Khazanah mempunyai nilai aset yang boleh direalisasi (RAV) sebanyak RM157.2 bilion manakala nilai bersih diselaraskan (NWA) adalah RM115.6 bilion.
Dalam manifesto pilihan rayanya, pertadbiran kerajaan baharu Pakatan Harapan, yang diterajui Dr Mahathir mahu menjadikan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sebagai komponen utama dalam meningkatkan penyertaan Bumiputera dalam pasaran saham.
Pentadbiran Pakatan kini menyemak semula semua saham yang dimiliki Khazanah bagi mengorientasikan semula tujuan asalnya - untuk memegang ekuiti bagi pihak Bumiputera.
“Kita akan kategorikan (saham) kepada yang menguntungkan, yang mungkin menguntungkan dan yang merugikan.
“Kami perlu menyingkirkan beberapa syarikat ini untuk mengurangkan jumlah mereka dan setakat tertentu, untuk kembali ke matlamat asal (Khazanah) untuk memegang saham-saham yang diperuntukkan bagi Bumiputera sehinggalah mereka boleh membelinya,” kata Dr Mahathir berkata dalam temu bual dengan Investzine hari ini. – 6 Julai, 2018
Komen