Tanah 1MDB ‘dijual’ kepada syarikat luar pesisir


Looi Sue-Chern

Menteri Kewangan Lim Guan Eng (kiri) dalam jawapan bertulis Parlimen berkata yang transaksi itu masih belum lengkap kerana pemindahan saham masih belum berlaku walaupun bayaran sudah dibuat. 1MDB digagaskan Najib Razak (kanan) sedang disiasat seluruh dunia. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Julai, 2018.

TANAH milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Air Itam, Pulau Pinang telah dijual kepada sebuah syarikat berpangkalan di Kepulauan Cayman.

Silk Road Southeast Asia Real Estate Ltd berpangkalan di George Town di Grand Cayman, kepulauan terbesar jajahan Britain di Caribbean.

Transaksi ini berlaku hampir setahun lalu, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng dalam jawapan bertulis di Parlimen hari ini.

“1Malaysia Development Bhd (1MDB) pada tahun 2013 telah membeli tanah Ayer Itam berkeluasan 235.1 ekar melalui 1MDB RE (Ayer Itam) Sdn Bhd (anak syarikat My City Ventures Sdn Bhd) pada harga RM1.38 bilion.

“Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) melalui syarikatnya iaitu Sentuhan Budiman Sdn Bhd (SBSB) telah mengambil alih pemilikan hartanah Air Itam milik 1MDB melalui pengambilalihan saham Kumpulan Silk Road Southeast Asia Real Estate Ltd melalui pemeteraian Perjanjian Jual Beli Saham (SSA) bertarikh 24 Ogos 2017 dengan harga jualan sebanyak CNY4.25 bilion atau kira-kira RM2.7 bilion,” kata kenyataan bertulis itu.

Bagaimanapun, Lim berkata sehingga hari ini SBSB masih belum menerima apa-apa permohonan dari Silk Road untuk memindahkan saham itu walaupun bekas ibu syarikatnya, My City Ventures sudah dibayar.

“Sehingga hari ini, pihak SBSB masih belum menerima sebarang permohonan daripada Silk Road Southeast Asia Real Estate Ltd untuk memindahkan pemilikan saham tersebut,” katanya.

Kenyataan bertulis Parlimen bertarikh 19 Julai itu adalah jawapan Lim kepada soalan Ahli Parlimen Bukit Bendera Wong Hon Wai yang sebelum ini Adun Air Itam mengenai status tanah 1MDB.

Akhbar kewangan The Edge Financial Daily hari ini melaporkan yang My City Ventures adalah syarikat RM2 yang ditubuhkan pada 2013 dengan modal berbayar RM145,503.

Asetnya jatuh menjunam daripada RM1.07 bilion kepada RM137,882 pada tahun kewangan 2015. Bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2017, syarikat itu melaporkan keuntungan bersih sebanyak RM18,478 tanpa pendapatan.

Akhbar itu memetik kenyataan sumber yang berkata transaksi itu dicurigai adalah skim pengubahan wang haram kerana pembeli tidak mendesak perpindahan saham dilakukan. – 30 Julai, 2018.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • kadang2 duit ni dapat kaburkan mata manusia.. sepatutnya pemimpin perlu amanah tambah2 berkaitan hak rakyat.. jika btl ini bercanggah dengan undang2 harap dapat hukuman yang setimpal.

    Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Aleeya sya · Ulasan