Bolehkah populariti Zawawi tutup kekurangan Pakatan di Sungai Kandis?


Chan Kok Leong

Calon PKR, Zawawi Ahmad Mughni sangat disukai di Sungai Kandis kerana selain merupakan anak tempatan, beliau juga seorang pemimpin komuniti yang popular serta seorang guru agama. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Julai, 2018.

BEKAS propagandis Barisan Nasional (BN), Tun Faisal Ismail Aziz yang memakai kemeja-T bertulis “SST Slow Slow Tipu”, berdiri di bahagian belakang trak 4WD dan cuba meyakinkan kumpulan orang di Sungai Kandis malam tadi bahawa kerajaan terdahulu lebih banyak memenuhi keperluan rakyat berbanding kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Di pasar malam di Jalan Haji Said yang kebanyakannya dikunjungi oleh pembeli Melayu itu, beliau memberitahu mereka bahawa tidak banyak yang kerajaan PH lakukan untuk meningkatkan taraf hidup rakyat serta gagal memenuhi janji-janji pilihan rayanya.

“Mereka hapuskan semua logo dan sepanduk 1Malaysia sebab mereka nak kita lupakan Najib (Razak). Semasa pentadbirannya, banyak yang diberi kepada rakyat, tapi sekarang tak ada apa-apa.

“Mereka ada GST sifar, tapi adakah harga turun? Yang turun ialah Ringgit dan harga kelapa sawit,” tambah Tun Faisal.

Bekas pengarah komunikasi strategik Hal Ehwal Khas (Jasa) itu berdiri bersama dengan penceramah lain di atas belakang trak 4WD, berkempen untuk calon BN bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis, Lokman Noor Adam, yang tidak hadir sama.

Trak itu disediakan oleh Umno, dipasangkan dengan skrin LCD untuk menunjukkan kepada hadirin bagaimana ahli-ahli Parlimen dari pelbagai parti berbahas di Parlimen.

Tun Faisal Ismail Aziz yang memakai kemeja-T bertulis 'SST Slow Slow Tipu', berdiri di bahagian belakang trak 4WD, berkempen untuk calon BN Lokman Noor Adam di pasar malam di Jalan Haji Said, Sungai Kandis semalam. – Gambar The Malaysian Insight, 28 Julai, 2018.

Antara yang turut berucap malam tadi ialah blogger kontroversi Umno, Wan Muhammad Azri Wan Deris, atau lebih dikenali sebagai Papagomo.

PRK Sungai Kandis yang akan diadakan pada 4 Ogos ini, tidak akan mengubah kerajaan Selangor yang ditadbir oleh PKR. Tetapi Tun Faisal berkata dengan memilih Lokman, pengundi di situ boleh menjadikannya sebagai “wake up call” supaya PH menunaikan janji pilihan raya mereka.

BN berharap untuk menggunakan PRK ini sebagai referendum pada bulan-bulan pertama pemerintahan kerajaan Persekutuan PH.

72% pengundi di Sungai Kandis adalah Melayu dan Umno mahu menguji kekuatannya selepas PRU14 menerusi PRK ini, walaupun ia hanya memberi sedikit kesan terhadap undi majoriti PKR.

Pada PRU14 Shuhaimi berjaya menewaskan calon BN dan PAS dengan memperoleh majoriti  12,480 undi.

Lokman akan berdepan calon PKR, Zawawi Ahmad Mughni dan calon bebas, K. Murthy.

Isu kegagalan PH dalam menunaikan janji pilihan raya mereka yang sering diulang-ulang oleh BN nampak memberi sedikit kesan terhadap sentimen Melayu di sini.

Pesara kerajaan, Husin Talib berkata kerajaan PH perlu diberi lebih masa untuk memenuhi janji-janji pilihan raya mereka.

“Pakatan perlu tunaikan janjinya kerana itulah sebabnya ramai orang mengundi mereka semasa pilihan raya,” kata pesara berusia 62 tahun itu.

Selain itu, Husin berkata Zawawi sangat disukai di Sungai Kandis kerana selain merupakan anak tempatan, beliau juga seorang pemimpin komuniti yang popular serta seorang guru agama.

“Pilihan raya kecil ini tak akan mengubah keputusan untuk Selangor. Tetapi antara kedua-duanya (Umno dan PKR), Ustaz Zawawi susah untuk dikalahkan kerana banyak perkara yang beliau lakukan di sini,” kata Husin. – 28 Julai, 2018.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • sama-sama lah kita tunggu keputusan PRK itu nanti,

    Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Alisya sofea · Ulasan