TUMPAHAN minyak akibat insiden kapal karam di perairan selatan Pulau Pinang semalam, dalam keadaan terkawal dan tidak akan menjejaskan perairan Perak, kata kerajaan negeri hari ini.
Menteri Besar Ahmad Faizal Azumu berkata laporan Jabatan Marin berhubung situasi itu pagi ini, menunjukkan tiada risiko berlaku di Tanjung Piandang yang terletak di utara negeri itu, di mana ladang ikan dan udang ditempatkan.
“Setakat ini, tiada risiko daripada insiden minyak tumpah yang memberi kesan kepada perairan Perak dekat Tanjung Piandang.
“Tetapi Jabatan Marin akan terus memantau situasi dan memaklumkan kerajaan negeri jikalau wujud sebarang risiko.
“Buat masa ini, tidak ada apa yang perlu dibimbangkan. Saya meminta orang ramai untuk pergi kepada pihak berkuasa berkaitan untuk mendapatkan maklumat terbaru berhubung situasi berkenaan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Lembaga Air Perak.
Ahmad Faizal berkata kesemua pegawai daripada agensi berkaitan sedang memantau situasi berkenaan.
Pagi semalam, Kapal Hong Kong “Xin Yi Yi” karam di Teluk Kumbar Pulau Pinang selepas terlanggar tukun kapal simen.– 27 Julai, 2018.
Komen