TUMPAHAN minyak diesel daripada sebuah kapal muatan ikan terbalik di perairan Pulau Pinang awal hari ini terkawal dan belum merebak ke perairan utara Perak di Tanjung Piandang.
Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu berkata Jabatan Laut negeri telah menghantar anggota ke lokasi untuk membantu kerja-kerja mengawal tumpahan minyak dan memantau keadaan.
Katanya, pegawai dan anggota Jabatan Laut yang berpangkalan di Lumut juga telah diarahkan untuk berada dalam keadaan bersiap sedia untuk membantu sekiranya tumpahan minyak merebak ke perairan Tanjung Piandang.
“Tumpuan utama kita adalah untuk mengelakkan tumpahan minyak tersebut daripada menjejaskan pengusaha ikan sangkar di sekitar perairan Tanjung Piandang dan juga nelayan pantai di kawasan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kapal kargo Xin Yi Yi dari China sepanjang 43.6 meter itu, dalam perjalanan memasuki pelabuhan Pulau Pinang, hampir karam selepas dipercayai melanggar dengan tukun kapal simen berhampiran perairan pantai Permatang Damar Laut, dekat George Town, pada kira-kira jam 5.30 pagi.
Kapal yang dikendalikan seorang kapten dan empat kru terdiri daripada seorang warga Hong Kong dan empat rakyat China berusia antara 25 dan 40 tahun itu tidak mengalami kecederaan. – Bernama, 26 Julai, 2018.
Komen