INSTITUSI Islam Wilayah Persekutuan akan dikekalkan di bawah Jabatan Perdana Menteri, sekali gus membatalkan rancangan sebelum ini untuk meletakkan agensi tersebut di bawah Kementerian Wilayah Persekutuan.
Cadangan sebelum ini akan memberi kesan terhadap agensi Wilayah Persekutuan berkaitan hal ehwal Islam yang diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri antaranya, Mahkamah Syariah, Majlis Agama Islam, Jabatan Pendakwa Syariah, Jabatan Hal Ehwal Islam dan Pejabat Mufti.
Cadangan tersebut bagi membolehkan Kementerian Wilayah Persekutan mengurus aspek pentadbiran agensi-agensi tersebut bagi memberi ruang kepada menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Islam) untuk menumpukan kepada penggubalan dasar yang lebih inklusif dan progresif untuk hal ehwal Islam.
Menterinya, Dr Mujahid Yusof Rawa memberitahu The Malaysian Insight hari ini, bahawa lima institusi tersebut akan terus kekal di bawah tanggungjawab Jabatan Perdana Menteri.
“Semuanya di bawah portfolio saya. Ia sememangnya di bawah Jabatan PM.
“Akta 505 menyatakan yang semua perkara membabitkan institusi tersebut adalah di bawah bidang kuasa menteri yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal Islam. Apabila menteri WP minta ia diletakkan di bawah kementeriannya, saya mempertahankannya berdasarkan undang-undang sedia ada,” katanya, merujuk Akta Pentadbiran Undang-undang Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan).
Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad sebelum ini memberitahu The Malaysian Insight bahawa kementeriannya akan memperoleh kuasa dan tanggungjawab lebih luas selepas masjid dan badan agama di Wilayah Persekutuan diletakkan di bawah kementeriannya.
Langkah itu, kata Khalid, adalah untuk membolehkan Mujahid memberi tumpuan kepada agensi di peringkat kebangsaan, seperti Institut Kefahaman Islam Malaysia, Yayasan Dakwah Islamiah (Yadim) dan TV Al-Hijrah.– 27 Julai, 2018.
Komen