Menteri Wilayah terima kuasa lebih luas terhadap entiti agama


Sheridan Mahavera

MENTERI Khalid Abdul Samad akan memperoleh kuasa dan tanggungjawab lebih luas selepas masjid dan badan agama di Wilayah Persekutuan diletakkan di bawah kementeriannya.

Langkah itu, kata Khalid, adalah untuk membolehkan Menteri Dr Mujahid Yusof Rawa masa bagi memberi tumpuan kepada penggubalan dasar yang lebih inklusif dan progresif untuk hal ehwal Islam.

Difahamkan dasar kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang baru mengenai Islam berbeza daripada pendekatan keras bekas pemerintahan Barisan Nasional yang dikritik sebagai sempit dan tidak toleran terhadap agama lain.

Khalid akan memberi tumpuan kepada aspek pengurusan pentadbiran semua entiti ini dan bagi memastikan dasar kerajaan baru mengenai Islam dilaksanakan.

“Perdana Menteri (Dr Mahathir Mohamad) tidak mahu menteri hal ehwal agama terlibat dalam hal pentadbiran,” kata Khalid kepada The Malaysian Insight.

“Sebaliknya beliau mahu menteri hal ehwal agama menentukan perkara berhubung dasar, falsafah dan pemahaman menyeluruh mengenai Islam bagi negara secara keseluruhannya.”

Dr Mahathir mahu mempromosikan pendekatan agar umat Islam dihormati dan pada masa sama mempertahankan agama lain, katanya.

“Umat Islam tidak boleh berfikir Islam wujud untuk memusnahkan semua agama lain. (Mereka perlu) menerima hakikat bahawa akan sentiasa ada orang yang mempunyai kepercayaan yang berbeza.”

Di bawah langkah itu, masjid, pejabat mufti, Jabatan Zakat dan Majlis Hal Ehwal Islam akan berada di bawah Kementerian Wilayah Persekutuan.

Semua badan sebelum ini dikendalikan oleh Jabatan Kemajuan Agama Islam (Jakim), yang berada di bawah bidang kuasa Kementerian Hal Ehwal Agama.

Struktur baru ini akan menyaksikan menteri urusan agama menyelia agensi-agensi kebangsaan, seperti Institut Kefahaman Islam, Yayasan Dakwah Islam (Yadim) dan TV Al-Hijrah.

Kabinet juga membahaskan sama ada untuk memindahkan Jabatan Agama Wilayah Persekutuan (Jawi), yang masih di bawah Jakim, kepada kementerian Khalid.

“Saya percaya Jawi harus dipindahkan ke kementerian saya. Kami masih membincangkannya tetapi saya percaya isu itu akan diselesaikan tidak lama lagi.” – 17 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen