Sungai Kandis jadi medan ujian untuk Umno baharu, pasca PRU14


Sheridan Mahavera

Calon BN Lokman Nor Adam sering bercerita tentang wanita tua beri sumbangan kepada bekas perdana menteri, dalam siri ceramahnya di Sungai Kandis. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Julai, 2018.

CALON Barisan Nasional (BN) Lokman Nor Adam sering mengulang satu cerita yang sama dalam kempennya di Sungai Kandis.

Ia satu kisah yang melambangkan apa maknanya pilihan raya kecil (PRK) itu kepada bekas gabungan pemerintah dan parti utamanya, Umno.

Ceritanya ialah tentang seorang wanita tua kurang upaya yang dilawatinya di kawasan itu menyerahkan kepadanya satu sampul berisi ang di mana wanita itu berkata ia sumbangan untuk bekas perdana menteri yang tewas, Najib Razak.

Lokman yang kini menjadi suara lantang dalam parti Melayu itu, berkata perbuatan terhadap Umno itu menunjukkan bahawa rakyat mahukan Umno kembali, selepas lebih dua bulan ia tewas dan hilang kuasa persekutuan pada PRU14.

“Mana-mana saya pergi di Sungai Kandis, orang ramai datang bersalaman, mereka mahu Umno menang,” kata Lokman dalam satu ceramah di Sungai Kandis, kerusi pinggir bandar yang bersempadan antara Klang dan Shah Alam.

Lokman dan Umno menjadikan PRK itu sebagai referendum terhadap dua bulan pertama pemerintahan Pakatan Harapan (PH).

Kisah wanita tua itu menunjukkan dua mesej iaitu pengundi menyesal memilih PH dan mereka mahukan Umno kembali.

Mesej tambahan ialah pengundi tidak percaya naratif kerajaan tentang rasuah besar-besaran yang dilakukan oleh Najib, maka itulah sebabnya wanita tua itu memberi sumbangan untuk bekas perdana menteri itu.

Semua itu adalah sebahagian daripada naratif keseluruhan yang dibawa oleh kepimpinan baharu Umno di bawah presidennya Ahmad Zahid Hamidi yang berusaha keras membuktikan beliau mampu membina semula Umno.

Naratif seperti itu, kata penganalisis politik, Hisommudin Bakar adalah penting untuk Umno kerana walaupun jika ia tewas di Sungai Kandis dengan margin kecil, ia akan membuktikan bahawa kebangkitan Umno berada di landasan betul.

Pada PRU14, calon PH Mat Shuhaimi Shafiei menewaskan calon BN dan PAS dengan 12,480 undi. PRK pada 4 Ogos ini diadakan susulan kerusi itu kosong selepas kematian Shuhaimi.

Kejayaan BN di Sungai Kandis, jika ia berlaku, akan menjadi rangsangan penting kepada Umno ketika ia bertungkus-lumus menempatkan diri dalam landskap politik baharu.

Umno juga mahukan undi dalam kalangan Melayu Islam dengan memainkan sentimen kaum dan agama – di mana katanya kerajaan PH menjejaskan kedudukan istimewa orang Melayu, Islam, raja-raja Melayu dan bahasa Melayu.

Hisommudin berkata masalahnya ialah naratif BN itu sukar untuk berjaya di Sungai Kandis.

“Strategi BN yang menyerang PH secara agresif akan memotivasikan penyokong mereka. Tetapi tindakan itu akan menjauhkan pengundi,” kata pengarah eksekutif Ilham Centre itu.

“Pengundi yang kami temui berkata terlalu awal untuk menghakimi pencapaian kerajaan PH. Pengundi beritahu kami PH perlu diberikan tempoh penyesuaian untuk membiasakan diri sebagai kerajaan. Status quo akan berlaku di Sungai Kandis.”

Tokoh agama warga tempatan Mohd Zawawi Ahmad Mughni mewakili PH di Sungai Kandis. Berdasarkan kajian badan pemikir Institut Darul Ehsan (IDE), kedudukannya di kawasan itu memberikan kelebihan kepadanya berbanding Lokman.

Pengarah Eksekutif IDE Prof Mohammad Redzuan Othman meramalkan retorik kaum dan agama akan hanya membawa BN menawan undi daripada kalangan ahlinya, yang berjumlah kira-kira 11,700.

Ini pencapaian hampir sama dengan PRU14 di mana, calonnya Kamaruzzaman Johari memperoleh 11,518 undi. – 27 Julai, 2018.

Baca berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • jangan terlampau yakin.. jangan jadi macam PRU14 terlampau yakin sehinggakan mengalami kekalahn teruk.. kita tunggu keputusan PRK nanti.. dengan komitmen yang diberikan oleh PKR tak mustahil PKR akan menang dalam prk ni.

    Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Alisya sofea · Ulasan