KUMPULAN hak asasi manusia Suaram menggesa polis menyiasat kes penculikan membabitkan kakitangan keselamatan M. Rajanthiran, yang hilang sejak empat bulan lalu di Nilai.
Pengarah Eksekutif Suaram Seven Doraisamy berkata polis gagal mengambil tindakan sewajarnya walaupun sudah dibekalkan dengan nama suspek yang didakwa terlibat dalam kes itu.
“Terdapat saksi dalam kes itu - Mohan, yang turut diculik namun berjaya melarikan diri,” katanya kepada pemberita di ibu pejabat polis Bukit Aman, hari ini.
“Polis berkata beliau bukan saksi yang boleh dipercayai kerana mempunyai rekod (polis).”
Sevan akan menyerahkan satu memorandum kepada Bukit Aman bagi pihak keluarga mangsa berhubung perkara itu.
Rajanthiran dipercayai diculik pada 29 Mac, dan keluarganya sudah membuat laporan polis pada 30 Mac di balai polis di Kuala Langat.
Seven berkata keluarga mangsa sudah memberikan keterangan Mohan yang direkodkan kepada polis mengenai butiran kejadian penculikan itu tetapi tidak diendah pihak berkuasa.
“Kes ini jelas dan mudah, bukti sudah diberikan tetapi polis tidak mahu menyelesaikannya.
“Keluarga mangsa masih menunggu jawapan,” katanya.
Seven berkata mangsa berusia 22 tahun itu menyertai sebuah syarikat keselamatan di Nilai enam bulan lalu selepas pulang dari bekerja di Singapura.
“Beliau dan Mohan bekerja untuk bos mereka yang dikenali sebagai Guna.
“Pada 29 Mac, mereka bertemu dua rakan bernama Jayakumar dan Suresh Kumar, dan itu adalah kali terakhir ahli keluarganya nampak beliau.”– 26 Julai, 2018.
Berita penuh di sini.
Komen