Hifz al-Din: Islam saya, Islam kamu


Mohd Syazreen Abdullah

KECOH seketika apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Mujahid Yusof Rawa memetik makna hifz al-din (memelihara agama) dalam ucapannya baru-baru ini. Kekecohan timbul apabila beliau menyebut agama selain daripada Islam juga perlu dijaga dan dipelihara.

Beberapa pihak, termasuk Majlis Ulama Ikatan Muslimin Malaysia (MUIS) menegur beliau supaya tidak sewenang-wenang membuat tafsiran Hifz al-Din tanpa kefahaman yang jelas. Selain itu, tidak sedikit kritikan yang dilemparkan kepada Dr Mujahid. Setiap kali berlaku isu keagamaan, timbul polemik yang tidak berkesudahan.

Kelompok ini bimbang jika makna Islam disalah tafsir. Tambahan lagi, mereka beranggapan “kekeliruan” tersebut mengundang kemurkaan Allah.

Maka, berpusu-pusu pejuang agama muncul untuk cuba membetulkan kefahaman Islam menteri agama. Tidak perlulah saya mengemukakan contoh di sini mengenai dalil-dalil yang digunakan untuk mengecam menteri agama tersebut tentang dakwaan salah tafsir itu.

Contohnya, mereka mengemukakan dalil daripada kesarjanaan tokoh Maqasid Syariah. Timbunan dalil dilambakkan demi mengukuhkan dan sebagai bukti tafsiran Islam mereka paling sebenar-benarnya. Tafsiran orang lain termasuk Dr Mujahid, salah belaka.

Kebimbangan saya bukanlah pada tafsiran yang berbeza, tetapi sikap paksaan dalam kepelbagaian dan memaksa dalam persamaan. Tafsiran keagamaan yang digunakan oleh sarjana maqasid terdahulu tidak salah, tetapi kelompok ini bermasalah kerana memaksa orang mengikuti tafsiran cara mereka.

Ironinya, sejarah tradisi Islam begitu kaya dengan tafsiran hukum agama yang berbagai-bagai dan berkembang maju tanpa perlu menyembur kebencian terhadap pandangan yang berbeza.

Jangan paksa persamaan

Wacana keagamaan di Malaysia susah untuk bergerak maju dan berkembang. Ini kerana tiada kebebasan dan tidak boleh berbeza pandangan sedangkan sejarah Islam melalui fasa perubahan yang dinamik. Bermula daripada hukum fikah yang luas berkembang, bertukar menjadi sempit kerana sikap seperti ini.

Sebagai contoh, tafsiran yang sempit, memaknakan kata Islam didukung oleh satu-satunya agama dan tidak ada pada wilayah keagamaan yang lain. Secara bahasa, walaupun perkataan Hifz al-Din (pemeliharaan agama) membawa maksud agama yang dikhususkan, maka tafsiran “khusus” itu orang yang menyembah dan tunduk patuh kepada risalah langit kerana semua agama dalam Al-Quran adalah Islam.

Kefahaman autentik ini sudah dianuti lama. Seperti dalam Al-Quran menyebut pada ayat 31 surah Al-Baqarah bahawa Tuhan memerintahkan Ibrahim dan Yaakob untuk ber-islam bahkan disampaikan kedua-dua nabi ini kepada umatnya agar menjadi orang Islam.

Kesimpulan itu dibuat sebelum lahirnya Nabi Muhammad. Hal ini disebut oleh Sayyid Muhammad Hussain Fadlullah dalam Tafsir Min Wahy. Disimpulkan bahawa penyebutan Al-Quran secara khusus tentang (ad-din) di sisi Allah adalah al-Islam iaitu meliputi semua millah (ajaran) yang dibawa oleh para nabi.

Al-Quran membahaskan persoalan asas iaitu nilai ketundukan atau kepatuhan manusia dengan tuhan, tidak bermaksud agama lain tidak memiliki nilai yang tulus.

Maka, al-Islam sikap pasrah kepada Tuhan, bukanlah tafsiran Islam-institusi, Islam-PAS, Islam-Isma, Islam-Ikram. Jauh sekali Islam puritan ala Wahabi.

Maka, memelihara agama iaitu Islam yang berserah kepada Tuhan inilah yang meraih Maqasid Syariah. Di sinilah letaknya konsep kesejagatan Islam yang sentiasa memelihara nilai kebebasan, kemanusiaan dan keadilan.

Pada sisi lain, konsep Hifz al-Din berkembang menjadi “kebebasan kepercayaan” dalam memelihara keharmonian dan menjamin perkembangan hukum Islam supaya tidak menjadi umat yang fanatik dan bersikap degil.

Maqasid berkembang, fikah diperbaharui

Tafsiran keagamaan oleh sarjana Islam klasik tidak selalu kekal. Perkembangan dunia dan kemodenan sentiasa melalui perubahan. Malah tradisi perkembangan ilmu Maqasid Syariah berkembang bermula daripada pandangan klasik sehingga teori moden. Bermula konsep maqasid yang lama bersifat “protection and preservation” sehingga berkembang pada development and rights.

Perkara ini disebut oleh pakar Maqasid Syariah moden iaitu Jasser Auda dalam bukunya Maqashid Al Shariah As Philosophy Of Islamic Law: A System Approach. Beliau cuba memberi pendekatan baru dalam memahami maqasid berlandaskan nilai universal daripada kajian-kajian fikah terdahulu seiring kehendak manusiawi zaman kini.

Di sudut lain, Jasser Auda cuba menyatakan konsep maqasid tidak terbatas pada satu pandangan saja. Pandangan alam dan perubahan zaman tentu saja memberi kesan pada perubahan hukum.

Tambah beliau lagi, semua agama sepakat untuk melindungi lima unsur dalam addharuriyat iaitu perkara asas dalam kehidupan semua manusia bagi menjamin kehidupan yang baik. Sebagai contoh pemeliharaan agama, akal, jiwa, keturunan dan harta.

Dakwaan bahawa kelima-lima perkara tersebut bersifat abadi dan diakui oleh fitrah manusia yang sihat.

Berdasarkan seruan tersebut, lebih bersifat manusiawi untuk bersikap maqasid seperti ini. Namun selagi tafsiran Islam disempitkan pada makna yang eksklusif, pasti mengundang hukum Islam yang sempit. Penalaran yang sempit adalah sakit yang menimpa sebahagian kelompok masyarakat dan sebahagian gerakan Islam.

Kejumudan ini bukan saja merosakkan keharmonian dalam kehidupan beragama, malah membentuk pemikiran binari ke atas hukum Islam. Dalam ilmu fikah disebut “mala yatimmu al-wajib illa bihi fahuwa wajib” atau disebut juga deontic logic.

Akhirnya, ia menjurus isu halal dan haram saja pada hukum Islam; langsung gagal mendepani cabaran kepelbagaian antara agama. Lalu tujuan beragama (maqasid syariah) tidak boleh dicapai melalui sikap keras, dan sombong.

Islam untuk semua

Tafsiran Islam yang penting kerana ia membentuk cara kefahaman dan sikap beragama. Memelihara agama adalah tujuan tertinggi kepada semua manusia yang terpilih. Mereka memilih jalan kepasrahan dan tunduk keesaan Tuhan yang satu.

Perbezaan syariat adalah fitrah yang harus diraih dan kita tidak boleh memaksa kebersamaan. Maqasid Syariah adalah mengenai akhlak mulia, mesej yang agung oleh Tuhan yang satu, dan tujuan yang baik untuk kebaikan semua manusia tanpa mengira sesiapa pun.

Hal ini mengingatkan saya tentang seorang kenalan Kristian, Krishnan yang memberitahu dia bersyukur kerana kita menyembah Tuhan yang satu, tiada dua, apatah lagi tiga. Beliau mengulang kembali pesan Yesus kepada saya, Tuhan menyambut kasih hamba-Nya dengan menjadikan umat yang satu saling berkasih sayang, jauh sekali mengajak kebencian dan menyebar keburukan.

Saya dapat menangkap sesuatu nilai yang besar daripada kata-kata itu. Mungkin inilah tujuan beragama yang diingatkan untuk saling merendah diri dan belajar untuk lebih berakhlak.

Sebagai manusia biasa seperti Krishnan, saya juga berulang-ulang kali menyebut bahawa ajaran agama tidak bertentangan fitrah manusiawi. Seorang yang beragama, mengimpikan kehidupan beragama yang indah tanpa harus ada sikap saling membenci sebagaimana yang terkandung dalam syariat yang diajarkan kepada kita oleh Si Pencipta.

Jadi selepas habis berceloteh dengan Krishnan, saya akhiri perbualan kami dengan senyuman dan berkata kepada dia, Islam saya, Islam kamu juga. Dia juga tersenyum. Akhirnya kami pulang dengan tidak perlu menjadi pejuang bangsa, agama yang sempit akal dan bermulut celopar di tengah-tengah kehidupan umat manusia. – 26 Julai, 2018.

* Mohd Syazreen Abdullah adalah penulis buku Bercakap dengan Quran dan Membebaskan Allah Dari Islam. Beliau bekas penuntut pengajian Islam di Universiti Yarmouk, Jordan dan aktif menulis tentang isu-isu pemikiran agama dan budaya.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Sebagai kafir, saya juga percaya tidak ada Tuhan melainkan Allah SWT tetapi hukum negara ini menetapkan bahawa saya boleh menyembah Allah di Malaysia Timur dan hanya Tuhan di Malaysia Barat. Bagaimanakah Allah saya berbeza daripada Allah anda? Bagaimanakah Islam anda berbeza dengan Islam yang diamalkan di Indonesia, Pakistan, Iran, Syria, Turki, Arab Saudi dan Malaysia Timur?

    Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Roger 5201 · Ulasan