Lembaga Khazanah hantar surat letak jawatan, tunggu langkah Putrajaya


Jahabar Sadiq

Sekarang terpulang pada Putrajaya untuk menamakan pengganti, kata seorang sumber Khazanah kepada The Malaysian Insight. – Gambar Wikipedia, 26 Julai, 2018.

SEMUA ahli lembaga pengarah Khazanah Nasional Berhad sudah menyerahkan surat perletakan jawatan tidak bertarikh minggu ini kepada pemegang saham utamanya Kementerian Kewangan Diperbadankan (MoF Inc) sementara pengganti mereka dijangka akan diumumkan seawal hari ini.

The Malaysian Insight difahamkan pengarah-pengarah dana kedaulatan itu bermesyuarat pada Selasa dan memutuskan menyerahkan surat perletakan jawatan tidak bertarikh, termasuk pengarah urusannya Azman Mokhtar yang akan tamat kontrak pada Jun 2019.

“Sekarang terpulang pada Putrajaya untuk menamakan pengganti. Lembaga akan berkhidmat sehingga pemegang saham memutuskan sebaliknya,” kata seorang sumber kepada The Malaysian Insight.

Khazanah tidak menjawab panggilan telefon untuk mengesahkan keputusan lembaga pengarah tersebut. Khazanah adalah dana kedaulatan utama Malaysia dengan kepentingan strategik merentas pelbagai sektor termasuk kewangan, kesihatan, telekomunikasi, penerbangan dan utiliti.

Lembaga pengarah Khazanah kini mempunyai sembilan anggota termasuk Azman. Mereka yang lain ialah Md Nor Md Yusof, Mohamed Azman Yahya, Mohammed Azlan Hashim, Raja Arshad Raja Uda, Andrew Sheng Len Tao, Nazir Abdul Razak, Nirmala Menon dan Yeo Kar Peng.

Secara tradisi, lembaga pengarah Khazanah dipengerusikan oleh perdana menteri dan turut dianggotai menteri kewangan dan ketua setiausaha Perbendaharaan.

Namun bekas perdana menteri Najib Razak, bekas Menteri Kewangan II Johari Abdul Ghani dan bekas ketua setiausaha perbendaharaan Irwan Serigar Abdullah letak jawatan pada 31 Mei selepas Barisan Nasional (BN) tersingkir dalam pilihan raya umum 9 Mei.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Kewangan Lim Guan Eng belum lagi dinamakan menganggotai lembaga pengarah Khazanah, yang setakat ini sudah dua kali gagal mengadakan mesyuarat berkala pada setiap suku tahun kewangan.

The Malaysian Insight melaporkan pada 13 Julai lepas Khazanah akan diterajui pengarah urusan baru, yang pertama dalam masa 14 tahun, selepas kenyataan Dr Mahathir seminggu sebelum itu bahawa dana kedaulatan itu akan diberi hala tuju baru dengan kepimpinan yang baru.

Azman membayangkan beliau sedia bersara awal sekiranya ada arahan dari Putrajaya. Beliau bagaimanapun gagal mendapatkan temu janji untuk berjumpa dengan Dr Mahathir.

Sejak beberapa minggu lalu, pimpinan syarikat dan dana pelaburan berkaitan kerajaan telah berhenti atau tidak diperbaharui kontrak mereka, termasuk pengerusi Permodalan Nasional Berhad, Abdul Wahid Omar, yang letak jawatan pada Jun selepas tidak dapat berjumpa Dr Mahathir.

Dr Mahathir, yang menubuhkan Khazanah pada 1994 untuk memegang saham dalam syarikat kerajaan, memberitahu media tempatan bahawa “mereka tidak lagi mengikut matlamat asal penubuhan Khazanah.”

Perdana menteri yang kembali berkuasa selepas bersara 15 tahun berterus terang tentang Khazanah apabila berkata syarikat pelaburan strategik itu “melakukan semua perkara pelik seperti membeli rumah dan mengambil alih syarikat.”

Komen Dr Mahathir itu menimbulkan tanda tanya mengenai kedudukan Azman sebagai pengarah urusan Khazanah, jawatan yang disandangnya di bawah dua perdana menteri.

Dalam maklum balasnya, Khazanah dalam satu kenyataan minggu lalu berkata ia “meminta penjelasan lanjut yang perlu dari kerajaan dan pihak berkenaan yang lain… bertujuan untuk mendapat penjelasan, pengukuhan dan melaksanakan mandat kami sebagai dana pelaburan strategik Kerajaan Malaysia.”

Laman web Khazanah menunjukkan syarikat itu memegang dan mengurus aset komersial dimiliki kerajaan. Ia juga bertanggungjawab atas pelaburan strategik bagi pihak negara dan berkepentingan dalam lebih 100 syarikat dalam sejumlah sektor daripada tenaga dan penerbangan kepada rawatan kesihatan dan perkhidmatan kewangan.

Setakat Disember 2017, Khazanah mempunyai aset boleh direalisasikan bernilai RM157.2 bilion manakala aset bersih yang diselaras mencecah nilai tertinggi RM115.6 bilion. – 26 Julai 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen