Guru agama disiasat berhubung dakwaan cabul ditukar


Looi Sue-Chern

Polis mengesahkan penahanan guru terbabit dan direman sehingga Isnin depan.– Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Julai, 2018

GURU agama yang disyaki melakukan pencabulan seksual terhadap lima pelajar di Pulau Pinang dipindahkan dari sekolah berkenaan oleh Jabatan Pendidikan Negeri minggu lalu serta merta selepas aduan dibuat terhadapnya, kata pengarah jabatan itu Mohd Jamil Mohamed.

Suspek ditukarkan ke pejabat JPN serta merta selepas ibu bapa mangsa hadir ke sekolah dan menuduh guru berkenaan membuat pencabulan seksual terhadap anak lelaki mereka.

“Ibu bapa membuat aduan di sekolah minggu lepas, sebelum laporan polis dibuat terhadapnya,” kata Mohd Jamil kepada The Malaysian Insight.

“Pihak sekolah memaklumkan jabatan. Guru berkenaan ditukarkan dan diarahkan melapor diri ke Pejabat Pendidikan Daerah Barat Daya, di mana beliau ditempatkan dengan pengawasan.

“Ia adalah prosedur operasi standard (SOP) untuk memindahkannya bagi mengelakkan guru terbabit mendekati pelajar berkenaan,” katanya.

Jamil berkata pegawai jabatan memaklumkan kepada polis di mana suspek berada, yang membawa kepada penahanannya di pejabat oendidikan daerah di Balik Pulau semalam.

“Sekarang ia sudah jadi kes polis. Jabatan juga akan mengambil tindakan disiplin, tetapi kita perlu tunggu hasil siasatan polis,” katanya.

Terdahulu hari ini, polis daerah Barat Daya memaklumkan kepada media penahanan guru terbabit dan direman sehingga Isnin depan.

Guru terbabit mempunyai enam laporan polis yang dibuat terhadapnya kerana didakwa menyentuh bahagian sulit lima pelajar lelaki Tahun 4 dan 5, serta cuba menyentuh bahagian sulit seorang lagi pelajar Tahun 5.

Dalam salah satu laporan polsi yang dibuat, mangsa mendakwa guru berkenaan menyentuh bahagian kemaluannya sejak April tahun lalu.

Guru berkenaan disiasat di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 kerana membuat serangan seksual fizikal terhadap kanak-kanak.

Jamil berkata tindakan tidak boleh diterima, dan menambah pihaknya tidak akan berkompromi terhadap kesalahan seksual terhadap kanak-kanak.

Selain mengeluarkan peringatan kepada guru dan pentadbir, jabatan pendidikan negeri juga memberi pendidikan kepada pelajar mengenai salah laku seksual.

Katanya, insiden berkenaan boleh berlaku di mana sahaja dan sukar untuk pihak berkuasa mengetahui mengenainya, melainkan terdapat laporan dan aduan.

“Ia turut mengejutkan kami yang aduan berkenaan melibatkan guru agama,” katanya. – 24 Julai, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen