Guru agama dituduh cabul anak murid


POLIS Pulau Pinang menahan seorang guru pendidikan agama berhubung dakwaan mencabul lima budak lelaki, dan cuba menyerang seorang daripadanya.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintenden AA Anbalagan berkata, polis menerima enam laporan terhadap ustaz berkenaan pada Jumaat lalu dan semalam.

“Ada empat laporan melibatkan empat budak Tahun 5, semuanya berumur 11 tahun, dan satu melibatkan budak Tahun 4 berumur 10 tahun.

“Satu lagi laporan melibatkan seorang budak Tahun 5 yang lain yang hampir jadi mangsa kepada suspek,” katanya kepada media hari ini.

Menurut Anbalagan, lelaki berumur 40 tahun itu ditahan pukul 10 pagi semalam di pejabat pendidikan daerah di Balik Pulau, Pulau Pinang.

Katanya, pada 18 Julai lalu, ibu kepada salah seorang mangsa diberitahu oleh anaknya bahawa guru berkenaan meraba pada bahagian kemaluannya semasa kelas.

“Semasa kejadian, nama mangsa dipanggil oleh guru tersebut untuk sesi bacaan al-Quran dan semasa mangsa sedang berdiri di sebelah meja, guru tersebut telah memegang bahagian luar kemaluan mangsa.

“Mangsa menceritakan kepada ibunya bahawa guru berkenaan sudah beberapa kali meraba bahagian kemaluannya sejak April tahun lalu, dan yang terkini pada 16 Julai lepas,” katanya.

Tambah Anbalagan, budak itu juga memberitahu ibunya beberapa kawannya juga diperlakukan sama oleh suspek.

“Ibu tersebut membuat laporan polis Jumaat lepas. Semalam, empat lagi mangsa membuat laporan terhadap guru yang sama.

“Guru itu didakwa melakukan pencabulan seksual yang lain semasa dalam kelas dan di surau sekolah. Sesetengah kejadian berlaku selepas waktu sekolah.

“Beberapa mangsa dijadikan sasaran berulang kali,” katanya.

Menurut Anbalagan, guru itu yang mengajar di sekolah berkenaan sejak 2014, sudah berkahwin dan mempunyai lima anak, dan tidak mempunyai rekod jenayah. Dia juga didapati negatif ujian dadah.

Suspek direman tujuh hari sehingga 30 Julai untuk siasatan mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 kerana mencabul kanak-kanak.

Jika sabit kesalahan, pertuduhan itu membawa hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan sebat. – 24 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen