PUTRAJAYA akan menambah baik sistem pendaftaran pusat penjagaan kanak-kanak sedia ada susulan kes kematian kanak-kanak ketika di bawah jagaan pengasuh baru-baru ini.
Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat di Dewan Rakyat hari ini berkata kerajaan akan menambah baik Akta Pusat Jagaan Kanak-kanak 1984.
Pada masa ini, akta itu hanya mensyaratkan mereka yang menjaga lebih empat kanak-kanak berusia empat dan ke bawah, untuk berdaftar dengan pihak berkuasa berkenaan.
“Kami akan memperbaiki peraturan itu bagi mewujudkan sistem pendaftaran lebih baik untuk memastikan pusat jagaan kanak-kanak berdaftar, termasuk menyaring pengasuh, bagi mengurangkan risiko.
“Ini akan memerlukan kerjasama daripada polis,” kata Dr Wan Azizah (PH-Pandan) pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat pagi ini.
Beliau menjawab soalan lisan Siti Zailah Mohd Yusoff (PAS-Rantau Panjang), yang mahu tahu langkah serta-merta diambil oleh kementerian dalam mengendalikan pusat jagaan kanak-kanak, termasuk di rumah persendirian.
Siti Zailah berkata kerajaan perlu bertindak bagi mengelak insiden sama seperti kematian Adam Rayqal Mohd Sufi yang berusia lima bulan, berulang lagi.
Adam meninggal dunia di rumah pengasuhnya awal bulan ini dan mayatnya ditemui di dalam peti sejuk, susulan pencarian dibuat selepas ibu bapanya membuat laporan polis berkenaan kehilangannya pada 3 Julai.
Dr Wan Azizah berkata kerajaan akan meneruskan usaha seperti “Jom Daftar” untuk menggalakkan penyedia perkhidmatan khidmat jagaan anak mendaftar operasi mereka dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat, selain mendidik ibu bapa supaya menghantar anak ke pusat yang berdaftar.
Berkenaan soalan tambahan Siti Zailah tentang pemantauan di pusat jagaan, Dr Wan Azizah berkata kamera litar tertutup (CCTV) boleh dipasang untuk membolehkan ibu bapa memantau menggunakan aplikasi di telefon pintar.
“Sejumlah 4,293 taska berdaftar di seluruh negara setakat Jun tahun ini. Langkah boleh diambil untuk memasang CCTV. Perkara ini sudah dicadangkan kepada perdana menteri,” katanya.
Dr Wan Azizah mengakui wujud kekangan untuk memantau premis tertentu.
“Ada ibu bapa hantar anak ke rumah saudara. Pengasuh seperti ini tidak berdaftar,” katanya.
Terdahulu, Dr Wan Azizah berkata menjelang 1 Januari tahun depan, semua agensi kerajaan akan ada pusat jagaan anak di premis masing-masing.
Katanya, kementeriannya akan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan untuk membuat pusat jagaan di sekolah bagi kemudahan guru yang mempunyai anak kecil.
Katanya, insentif seperti pelepasan cukai 10%, juga boleh diberikan kepada sektor swasta untuk menggalakkan syarikat menyediakan pusat jagaan di premis mereka. – 24 Julai, 2018.
Komen
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Alisya sofea · Ulasan
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Alisya sofea · Ulasan