BEKAS menteri pendidikan tinggi Idris Jusoh menggesa agar kerajaan turut menetapkan syarat lulus mata pelajaran Sejarah untuk lulusan Sijil Pendidikan Bersepadu (UEC) diterima ke universiti awam.
Ahli Parlimen Besut itu berkata ia merupakan perbezaan di antara manifesto Barisan Nasional (BN) dengan janji Pakatan Harapan (PH) yang hanya menetapkan syarat lulus kepujian Bahasa Melayu.
“Ia berbeza kerana dahulu kita dah berkata pengiktirafan UEC daripada BN bukan sahaja perlu lulus BM tapi juga perlu lulus Sejarah.
“Ini tak dikatakan oleh PH dan penggunaan sejarah ini diluluskan semasa Tan Sri Muhyiddin menjadi menteri (pendidikan). Jadi itu saja bezanya,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.
Beliau menjelaskan perkara itu susulan kritikan bahawa pemimpin BN bersikap hipokrit kerana mengkritik rancangan PH untuk melaksana pengiktirafan UEC.
Idris selanjutnya berkata syarat bagi dua subjek tersebut penting terutamanya bagi subjek Sejarah kerana seseorang akan lupa jati diri jika tidak mengenali sejarah negara.
“Sejarah Malaysia perlu (lulus) dan sebagai seorang warganegara, kita perlu tahu sejarah. Sama juga jika seseorang nak jadi warganegara Amerika pun, (mereka akan) ditanya tentang sejarah Amerika,” katanya.
Susulan bantahan keras pelbagai pihak dan juga tuntutan daripada kumpulan pelopornya, Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik pada 15 Julai lalu mengumumkan bahawa perkara itu masih dalam kajian.
Antara universiti yang menerima UEC sebagai kelayakan asas adalah Oxford University, University of Cambridge, Australian National University, Kyoto University, California Institute of Technology, dan Peking University. – 24 Julai, 2018.
Komen
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Alisya sofea · Ulasan