
BEKAS perdana menteri Najib Razak berharap sbarang pindaan yang dilakukan oleh kerajaan pimpinan Pakatan Harapan tidak akan menjejaskan negara.
Ahli Parlimen Pekan itu merujuk kepada keputusan Putrajaya yang akan mengkaji semula Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan Model Ekonomi Baru (MEB) bagi melihat sama ada dasar-dasar berkenaan masih relevan atau sebaliknya.
“Saya harap kerajaan baru ini tak akan buat pindaan semata-mata nak buat pindaan.
“Kalau nak lakukan pindaan, ianya mesti ke satu arah yang membawa kebaikan yang kita telah lakukan.
“Kalau timbul banyak ketidaktentuan, maka ini boleh menjejaskan confidence pasaran kepada ekonomi Malaysia,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.
Beliau turut menjelaskan, MEB ketika di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN) dahulu telah membawa perubahan kepada ekonomi negara yang hasilnya mencatatkan Malaysia sebagai negara ke-23 paling kompetitif di dunia dalam World Economic Forum.
Senada dengan Najib, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata dasar yang telah dipersetujui bersama tidak wajar dirombak sewenang-wenangnya, sebaliknya berkata setiap keputusan harus merujuk kepada Perlembagaan.
“Kita hendaklah menjaga kepentingan rakyat keseluruhannya biarpun dasar itu adalah untuk Bumiputera tetapi ia harus juga menjaga lain-lain keturunan rakyat Malaysia.
“Saya tidak fikir wajar untuk sesuatu dasar yang baik itu mahu dirombak hanya kerana ia dibuat oleh kerajaan terdahulu.
Terdahulu hari ini, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali berkata, DEB yang akan dikaji semula oleh kerajaan akan melihat kepada keperluan dan bukan lagi kaum.
Menurutnya, langkah itu memerlukan kajian keseluruhan DEB yang telah dilaksanakan oleh Umno dan BN selama ini.
Katanya, ia bagi memastikan polisi yang dibuat mengikut permintaan dan aspirasi rakyat Malaysia. – 24 Julai, 2018.
Komen
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Alisya sofea · Ulasan