TIDAK seperti cukai barangan dan perkhidmatan (GST), cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang akan diperkenalkan semula tidak mencakupi “ekonomi kelabu”, dan kerana itu mengabaikan sejumlah besar pendapatan, kata seorang pakar cukai.
Presiden Persatuan Akauntan Cukai Malaysia, Abdul Aziz Abu Bakar berkata ini adalah antara kelemahan utama yang perlu dibetulkan oleh kerajaan dalam “SST 2.0” yang akan diperkenalkan dalam tempoh lebih sebulan lagi.
“Ekonomi kelabu”, kata Aziz, merujuk kepada perniagaan dan aktiviti yang sepatutnya membayar cukai, tetapi tidak membayarnya. Jualan barangan seludup atau barang tiruan adalah antara contoh kegiatan dalam ekonomi kelabu.
Satu lagi masalah dengan SST ialah “kesan sampingan” yang sekiranya tidak dihentikan, boleh menyebabkan inflasi kerana pengambilan untung, kata Aziz.
“Kerajaan perlu mengubah rejim SST. Ambil kekuatan daripada GST dan laksanakannya dalam SST 2.0 supaya kita boleh mengatasi kelemahan SST,” kata Aziz kepada The Malaysian Insight.
SST yang akan menggantikan GST akan bermula pada 1 September ini.
Barangan yang dijual di SST akan dikenakan cukai pada 0%, 5% atau 10% manakala perkhidmatan dikenakan cukai 6%, kata Jabatan Kastam.
SST diperkenalkan oleh kerajaan baru Pakatan Harapan yang menyalahkan pelaksanaan GST sebagai beban ke atas golongan berpendapatan rendah kerana ia mengenakan cukai ke atas lebih 60% barangan dan perkhidmatan. SST dijangka akan hanya dikenakan ke atas 38% barangan dan perkhidmatan.
Taklimat mengenai rejim baru cukai itu oleh Jabatan Kastam akan bermula hari ini, sementara rang undang-undangnya dijangka dibentangkan di Parlimen awal minggu depan.
Kesan inflasi
GST mencakupi dan mencukai transaksi daripada ekonomi kelabu kerana ia dikenakan pada setiap peringkat penawaran dan permintaan, kata Aziz.
“Setiap perniagaan perlu menyimpan rekod jual beli dalam sistem perakaunan GST.”
Kalau misalnya seorang pemborong membeli rokok atau pakaian seludup dan menjualnya, dia perlu merekodkan cukai yang dikenakan kepada peruncit atau pengguna.
“Tetapi kerana barangan itu seludup, dia tidak akan dapat menunjukkan rekod cukai yang dia kena bayar. Apabila tiada rekod, transaksi itu akan dipantau dan dia akan disiasat oleh Kastam.”
GST sebelum ini mengumpulkan lebih kurang RM40 bilion kutipan antara 2015 hingga 2017. Pada 2018, ia dijangka mengutip sebanyak RM44 bilion.
SST sebaliknya hanya dijangka mengumpulkan RM21 bilion daripada 68,000 yang dikenakan cukai.
SST hanya dikenakan pada peringkat pengeluar, pengimport dan penyedia perkhidmatan tertentu seperti televisyen berbayar, telekomunikasi, syarikat kereta dan restoran yang mempunyai pendapatan lebih daripada RM500,000 setahun.
Satu lagi masalah SST ialah bagaimana kenaikan harga akan dipindahkan kepada rangkaian bekalan daripada pengeluar kepada pemborong kepada peruncit, kata Aziz.
Sebagai contoh, pengeluar menjual barangan kepada pemborong pada harga RM100 dan mengenakan SST sebanyak RM10.
Pemborong kemudian mengenakan 10% untung atas RM110 dan menjual barangan pada harga RM121 (RM110 + RM11).
Di bawah GST, pemborong hanya dibenarkan mengambil untung atas kos asal barangan iaitu RM100.
“Ini mengakibatkan kos barangan dan perkhidmatan jadi lebih tinggi kerana diturunkan di sepanjang rangkaian bekalan.”
Untuk mengelak ini daripada berlaku, kerajaan disaran membenarkan perniagaan mengambil untung hanya atas kos asal, kata Aziz.
“Tetapi pada akhirnya, satu-satunya cara untuk mengelak pencatutan ialah dengan kerajaan melaksanakan sistem dengan cekap. Tanpa penguatkuasaan, sistem cukai apa pun akan gagal.” – 24 Julai, 2018.
Komen
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Alisya sofea · Ulasan